Oleh: Zihan Zari
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji keperluan mewujudkan akta baharu atau meminda undang-undang sedia ada berkaitan ‘Lemon Law’ bagi memastikan hak-hak pengguna di dilindungi dengan lebih baik.
Bagi tujuan itu, KPDN telah melantik perunding pakar bagi menyediakan laporan kajian bermula sekarang hingga September ini dan dapatannya akan dibentangkan di Dewan Rakyat seawal penggal pertama 2025.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata demikian pada majlis perasmian penutup Simposium Kepenggunaan Malaysia di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Selasa.
Hadir sama, Timbalannya Senator Hjh. Fuziah Salleh, Ketua Setiausaha KPDN, Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bakar, Timbalan KSU (Pendayaupayaan Pengguna & Pengurusan), Dato’ Zakaria Shaaban; Timbalan KSU (Perdagangan Dalam Negeri), Datuk Roziah Abudin dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Armizan berkata, laporan ini akan dijadikan asas kepada pertimbangan kementeriannya mendapatkan keputusan dasar sama ada keperluan untuk mewujudkan satu akta baharu berkaitan ‘Lemon Law’ atau melaksanakan pindaan kepada Akta 599 bagi memperkukuh hak pengguna.
Katanya, ‘Lemon Law’ adalah satu undang-undang yang menyediakan hak tebus rugi (redress) kepada pembeli kenderaan bermotor dan barangan pengguna lain untuk mendapatkan remedi terhadap produk yang berulang kali rosak dan gagal memenuhi standard kualiti dan prestasi.
Di Malaysia, peruntukan perundangan bercirikan ‘Lemon Law’ berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal dan pengilang untuk berangan yang tidak mematuhi gerenti termaktub dalam Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) yang di bawah kawal selia KPDN.
“Selain itu, Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967 turut mempunyai peruntukan undang-undang yang mempunyai komponen ‘Lemon Law’.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada insiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan perlindungan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa,” katanya.
Simposium anjuran KPDN ini melibatkan penyertaan daripada wakil agen kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pemain industri, ahli akademik, wakil media dan gerakan pengguna yang membincangkan rangka dan elemen ‘Lemon Law’ yang lebih menyeluruh.
Sempena simposium turut disajikan Forum Kepenggunaan ‘Lemon Law, Bersediakah Kita’ turut berlangsung di sini.
Ianya bagi memberi maklumat tepat dan kefahaman mengenai ‘Lemon Law’ kepada peserta simposium, apabila mereka membeli kenderaan atau produk lain yang gagal berfungsi sebagaimana sepatutnya.
Forum ini menampilkan 3 ahli panel, Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dato’ Idrani Thuraisingham; Pengamal Undang-Undang, Noor Liyana Ahmad Marzuki dan Timbalan Setiausaha, Automotive Accessories Traders Association of Malaysia (AAA), Eisie Hong.
Moderator, Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Nor Wahida Muhammad berkata, ketiga-tiga panel telah memberi pandangan mereka berhubung ‘Lemon Law’ dalam melindungi hak pengguna.
“Segala pandangan dan cadangan dari pelbagai sudut untuk kemaslahatan pengguna yang dikemukakan dalam forum ini akan diambil kira serta diperhalusi oleh KPDN untuk diteliti,” katanya. – Suara.TV