Oleh Zihan Zari
KUALA LANGAT – KEMENTERIAN Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) dengan kerjasama Sime Darby Plantation Berhad (SDPB) akan merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata demikian ketika menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian Projek Rintis Machine Specialist antara IMPAC dan SDPB di Sime Darby Plantation R&D Centre di sini pada Jumaat.
Katanya, melalui penggunaan mekanisasi dan automasi dalam operasi perladangan, sektor ini dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi yang menjamin pendapatan kompetitif.
Selain itu, mewujudkan ekosistem yang dapat menarik minat generasi muda untuk menjadikan sektor agrikomoditi sebagai antara pilihan kerjaya.
Katanya, inisiatif kerjasama ini kelak akan membuka peluang pekerjaan kepada belia (Projek Lokal) untuk meningkatkan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan yang berkebolehan secara praktikal serta memiliki pengalaman dalam bidang spesialisasi mesin.
KPK sentiasa menyokong penuh inisiatif SDPB dalam mencapai hasrat meningkatkan penglibatan pekerja tempatan berkemahiran dan berkualiti bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Menurutnya, objektif program yang berorientasikan jaminan kerjaya ini adalah bagi menyediakan 100 peluang pekerjaan bernilai tinggi (high value job) dalam bidang Machine Specialist di sektor perladangan sawit.
Projek yang akan dilaksanakan di Akademi Perladangan Sime Darby (SDPA) mengambil masa selama 3 bulan 2 minggu bermula pada Februari 2024 melibatkan 100 orang perantis.
Antara kriteria pemilihannya mereka mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berumur 18 – 35 tahun (keutamaan B40), berminat dalam bidang jentera pertanian, mempunyai kemahiran teknikal dan komunikasi serta interpersonal yang baik.
Perantis yang berjaya menamatkan latihan dan lulus ujian penilaian akan ditempatkan di Sime Darby Plantation Berhad dan pemain-pemain industri lain.
Menurutnya lagi, kolaborasi IMPAC dan SDPB merupakan kerjasama sinergi antara pemain industri dan agensi dalam menyokong inisiatif kerajaan ke arah menggalakkan penggunaan mekanisasi dan automasi dalam operasi perladangan.
Foong Hin turut menyaksikan sesi menandatangani perjanjian kerjasama antara SDPB bersama Universiti Malaya (UM) bagi projek alat pemotong laser (Laser Cutter Project) Fasa 2.
UM turut menyerahkan prototaip alat pengesan kematangan buah sawit Laser (Laser Ripeness Sensor) kepada SDPB yang telah diselesaikan akhir tahun lalu.
Katanya, kolaborasi ini telah bermula sejak 2021 bagi tujuan pembangunan teknologi pemotongan menggunakan laser untuk kerja penuaian dalam industri perladangan kelapa sawit telah pun diselesaikan pada akhir tahun lalu.
– SUARA.TV