Kes Nik Elin: PAS tuntut Perlembagaan dipinda, beri kuasa kepada DUN gubal undang-undang jenayah syariah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- PAS mendesak kerajaan menyegerakan usul meminda Perlembagaan di Parlimen dengan memasukkan bidang kuasa jenayah di bawah Senarai III, Senarai Bersama supaya jelas memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang kesalahan jenayah termasuk jenayah syariah.

Menurut Ketua Penerangan PAS, kerajaan sekarang sudah lebih dari stabil serta telah mendapat dua pertiga sokongan ahli-ahli Dewan Rakyat, beliau yakin usaha ini sangat mudah dilakukan oleh pihak kerajaan.

Kecuali sememangnya Kerajaan tidak berminat ke arah itu, kata Ahmad Fadhli Shaari.

“Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini (Jumaat) yang telah mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

“Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

“Keputusan ini telah diputuskan oleh badan perundangan di peringkat yang tertinggi dan tiada lagi proses rayuan selepas ini,” katanya.

Dalam erti kata lain, Ahmad Fadhli menegaskan, dari sudut proses undang-undang ia adalah muktamad dan mandatori.

“Sudah tentu ia wajar dihormati oleh semua pihak.

“Sudah tentu banyak pihak berdukacita dengan keputusan ini yang sekali gus akan mencetuskan ‘domino effect’ kepada kompetensi DUN di negeri-negeri yang lain dalam menggubal undang-undang syariah yang dilihat ‘bertentangan’ dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 hari ini memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Berikut adalah 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diputuskan sebagai terbatal dan tidak sah.

Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat

Seksyen 14: Liwat

Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat

Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia

Seksyen 31: Gangguan seksual

Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu

Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan

Seksyen 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat

Seksyen 40: Melaksanakan transaksi muamalat yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)

Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga mualat melalui riba

Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal

Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat

Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan

Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram

Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

Dua seksyen yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan ialah Seksyen 13 iaitu menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral dan Seksyen 30 iaitu menggunakan perkataan yang boleh memecahkan keamanan.

Terdahulu, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan serta menamakan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Mereka mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 serta mendakwa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan terbabit kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat