BERSIH akan kembali ke jalan, desak agenda reformasi seperti dilaung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – BERSIH bersama gerakan anak muda dan mahasiswa serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) negara ini sedia menggerakkan rakyat kembali berdemonstrasi mendesak kerajaan melaksanakan agenda reformasi seperti dilaungkan sebelum ini.

Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata ini kerana perkembangan terkini, terutama membabitkan elit politik memberi gambaran seolah-olah janji dan komitmen reformasi yang dilaungkan selama ini hanyalah halwa telinga semata-mata.

“Situasi ini mengisyaratkan yang rakyat tidak lagi boleh berdiam diri dan membiarkan agenda reformasi institusi serta politik negara tersasar.

“Justeru, BERSIH akan menggerakkan semula rakyat untuk memberi penerangan berhubung perkembangan agenda reformasi itu menerusi beberapa tindakan dan aksi dari semasa ke semasa.

“BERSIH tidak teragak-agak menggerakkan rakyat ke jalanan sebagai bahasa mudah difahami oleh mereka yang sedang enak diulit kekuasaan tanpa menghiraukan harapan rakyat menerusi pelbagai dalih untuk tak mendukung agenda reformasi,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya pada Rabu, lapor BH.

Minggu lalu, Najib dilapor diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain pembebasan awal, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, juga mengumumkan denda perlu dibayar Najib, dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh pemenjaraan Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Najib, 70, yang menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor sejak 23 Ogos lalu, kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022.

Ditanya sama ada BERSIH akan memperjuang agenda memansuhkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berkaitan Kuasa Pengampunan, Muhammad Faisal bagaimanapun berkata, pihaknya hanya mahukan ketelusan mengenai justifikasi dan saranan kerajaan berhubung kes Najib kepada Lembaga Pengampunan.

“Ketelusan inilah yang akan menjawab kenapa pengampunan (peremitan hukuman) diberikan (kepada Najib). Sebenarnya, bukanlah perkara tidak dinyatakan dalam Perlembagaan tak boleh dibuat.

“Misalnya, Peguam Negara memberi perintah lepas tanpa dibebaskan (DNAA) kepada ahli politik, tiada dalam Perlembagaan menyatakan beliau wajib memberikan penjelasan, namun ini tak bermaksud beliau tak mempunyai hak akauntabiliti kerana ia membabitkan kepentingan awam.

“Dalam kes Najib atau rasuah ia membabitkan kepentingan awam dan duit rakyat. Justeru, rakyat berhak tahu apa yang berlaku.

“Ini bukan persoalan mengenai ada atau tidak peruntukan dalam undang-undang, tetapi lebih kepada mengenai kepentingan awam yang menjadi tanggungjawab moral (kerajaan) untuk memberi penjelasan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat