KUALA LUMPUR- Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pembangkang supaya tidak lagi cuba melakukan sebarang ‘langkah tebuk atap’ untuk menjatuhkan kerajaan, sebaliknya perlu mengambil pengajaran daripada pengalaman bertukar tiga Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Timbalan Perdana Menteri berkata, pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal selepas PRU14 telah memberi kesan bukan saja kepada negara tetapi juga rakyat secara keseluruhan akibat ketidakstabilan politik.
“Saya fikir cukup-cukuplah pihak pembangkang melakukan langkah yang apa nama sekali pun. Jangan buang masa rakyat… jangan buang masa untuk mengalih perhatian rakyat daripada bersama mendapat nikmat hasil projek serta rancangan yang disusun oleh kerajaan MADANI.
“Dalam tempoh empat tahun ini, kita bersama membina semula negara yang sudah rosak selama satu penggal apabila ada tiga Perdana Menteri mengetuai negara dan tidak ada hasil yang baik untuk rakyat ketika itu,” petik BH di Putrajaya pada Jumaat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut mengingatkan mengenai kewujudan Akta Antilompat Parti yang mana sebarang keputusan besar berkaitan politik harus dibuat secara en bloc.
“Soal tebuk atap ini… saya fikir akuan bersumpah (SD) tidak lagi digunakan sebagai platform utama sebagaimana sebelum wujud Akta Antilompat Parti. Ini tidak akan berlaku kerana jaminan sudah diberikan oleh Premier Sarawak sendiri yang mengetuai GPS (Gabungan Parti Sarawak).
“Kita yakin GRS (Gabungan Rakyat Sabah) di Sabah juga… mereka sibuk untuk PRN, jadi apa berlaku pada peringkat nasional mungkin bukan keutamaan mereka ketika ini dan saya fikir mereka juga mahu menstabilkan kedudukan kerajaan negeri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor mengesahkan wujud rancangan pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Sanusi dipetik berkata, gerakan dikenali sebagai ‘Langkah Chow Kit’ itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan MADANI untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.
Sebelum itu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendedahkan kini muncul komplot ‘Langkah Dubai’ yang didakwa digerakkan oleh pembangkang bermatlamat untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menegaskan biarpun politik bersifat dinamik, hakikatnya rakyat mahu melihat kestabilan politik yang berupaya menentukan pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, beliau berkata, semua pihak harus memberi tumpuan bersama membangunkan negara, mengurangkan kadar pengangguran dan mewujudkan peluang pekerjaan.
“Boleh berpolitik apabila sampai waktunya untuk rakyat mengundi pada PRU, PRK (pilihan raya kecil) atau PRN (pilihan raya negeri) yang akan diadakan untuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh tertentu,” katanya.