KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil mencabar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan dan beliau juga akan melepaskan jawatannya.
Isham mengingatkan Zahid untuk tidak terus menjaga kepentingan diri sehingga seluruh parti hancur lebur.
“Saya harap Datuk Seri Presiden sedar dan menerima hakikat dan tidak berada dalam sindrom penafian bahawa lebih ramai orang-orang Melayu kini menolak Umno oleh kerana keputusan Presiden untuk pergi pilihan raya bersama DAP selepas PRU-15.
“Jika keadaan ini berterusan, Umno akan hancur dalam beberapa tahun lagi oleh kerana keputusan ini. Umno ini adalah parti keramat yang memperjuangkan orang-orang Melayu di Malaysia selama ini. Usahlah kerana kepentingan diri seluruh parti hancur lebur dibuatnya.
“Jika Datuk Seri letak jawatan, saya pun akan letak jawatan. Kita sama-sama berkorban asalkan parti keramat ini dapat diselamatkan selagi ada masa,” tegas Isham pada Rabu.
Kenyataan itu menyusul sejurus Zahid mencabar beliau untuk menghadiri mesyuarat MKT malam ini.
“Baru tadi Presiden Umno arahkan saya untuk datang mesyuarat malam ini. Dia buat kenyataan akhbar secara terbuka.
“Saya sudah kata sebelum ini yang saya kekal dengan pendirian saya untuk protes dan selagi dia membuat keputusan untuk pergi pilihanraya dengan DAP saya akan protes dan tidak akan hadir mesyuarat yang dia pengerusikan dan dia veto keputusannya.
“Ini penggal kedua saya dalam Majlis Tertinggi, saya sudah boleh baca apa yang dia akan buat dalam mesyuarat.
“Buat apa saya ikut kemahuan dia dan datang tadah muka di lubuknya. Kalau dia ikhlas, mungkin Presiden boleh tunaikan cabarannya untuk berdebat dengan saya sebelum ini, di gelanggang yang neutral. Kalau dia berani,” bidas Isham.