Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri telah meluluskan pemberian bantuan pentadbiran sebanyak RM5 juta setiap tahun bermula tahun ini kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) dan badan gabungan tertakluk kepada Akta 668 Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007.
Bantuan ini diberi bagi mengukuhkan tadbir urus dan pengoperasian pertubuhan belia untuk lebih aktif dalam melaksanakan program-program belia.
Menteri Belia dan Sukan (KBS) , Hannah Yeoh mengumumkan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) di Pusat Belia Antarabangsa (ICY), di sini semalam.
Hannah berkata, kerajaan juga menetapkan tarikh kuat kuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] iaitu had umur 30 tahun bagi belia berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 berbanding had umur sekarang 40 tahun.
“Pindaan ini turut melibatkan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan selama empat tahun sahaja sejajar dengan Dasar Belia Malaysia dan takrifan umur belia di negara lain yang meletakkan had umur belia di bawah 30 tahun.
Seperti di Indonesia 16-30 tahun, Filipina 15-30 tahun, Thailand 15-24 tahun, Korea 9-24 tahun dan Australia 12-24 tahun, ” katanya.
“Kerajaan telah bersetuju dengan tarikh kuat kuasa berkenaan dan warta penetapan tarikh mula kuat kuasa telah pun disiarkan di laman sesawang Jabatan Peguam Negara pada 20 November 2023, ”katanya lagi.

Dalam pada itu, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bersama MBM diketuai oleh Timbalan Menteri KBS, Adam Adli Abd Halim untuk membincangkan program-program transisi serta strategi serta memperkasakan belia selain pendekatan program turun padang ke seluruh negara bagi tujuan tersebut.
MPBN merupakan sesi libat urus dan persidangan intelektual kali ini terdiri daripada 113 ahli MPBN, 6 pembahas ucapan dasar dan 15 pembahas usul bersama pemimpin belia negeri dan kebangsaan, wakil-wakil kementerian serta agensi persekutuan.
Sidang ini membincangkan dan mengangkat suara dan pandangan golongan belia ke peringkat tertinggi kerajaan antaranya belia diberi peranan sebagai pembantu guru di sekolah bagi menangani masalah beban tugas pendidik.
Turut hadir Timbalan Menteri KBS , Adam Adil, Ketua Setiausaha KBS, Ts Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Mohd Azhari Mohammad dan Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.- SUARA TV