KUALA LUMPUR – Harakah disaran mengemukakan rayuan kepada Jabatan Penerangan susulan tindakan kerajaan membatalkan pas media rasmi organisasi milik PAS itu.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, penarikan kad perakuan media Harakah oleh Jabatan Penerangan semestinya dibuat atas sebab tersendiri.
“Sudah pasti Jabatan Penerangan ada sebab tersendiri dan penjelasan lanjut perlu dirujuk dengan jabatan itu.
“Pihak Harakah boleh membuat rayuan kepada Jabatan Penerangan,” katanya.
Semalam,akhbar Harakah menerima surat daripada Jabatan Penerangan memberitahu supaya memulangkan pas media wartawan mereka.
Ini susulan, artikel bertajuk ‘Malaysia Di Bawah Anwar Ragu-Ragu Sokong Palestin?’ itu memetik Ketua Dewan Ulamak PAS Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena), yang mendakwa kerajaan telah mengubah nadanya berhubung pejuang kemerdekaan Palestin untuk mengikuti naratif yang ditetapkan oleh Israel dan Barat.
Harakah juga telah menerbitkan satu set gambar untuk mengiringi artikel itu yang memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bendera Israel di belakangnya manakala foto Ahmad mempunyai bendera Palestin di sisinya.
Bagaimanapun gambar itu telah ditukar dan hanya bendera Israel dan Palestin dipaparkan, tanpa wajah Anwar dan Ahmad.
Jabatan Penerangan, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital menyatakan laporan itu telah melanggar etika kewartawanan kerana menyiarkan “tuduhan tidak berasas” dan mengarahkan Harakah memulangkan semua pas medianya.