KUALA LUMPUR – Dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) ibarat haiwan di zoo kerana ia dilepaskan dari kandang tapi tidak bebas keluar daripada kawasan zoo.
Tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin malah mendakwa Parlimen Malaysia sudah lama jadi taman haiwan.
“Maaf cakaplah kalau saya kata, Parlimen kita sudah lama jadi macam taman haiwan.
“Tapi kepada yang hendak belajar, di taman haiwan (zoological garden) pun ada ilmu dan pengetahuan. Di Parlimen tentulah lebih lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Menurut beliau, sesetengah Ahli Parlimen jadi macam haiwan kerana DNAA punya hal dan kerana tuduh menuduh.
“DNAA ini singkatan kepada “discharge not amounting to acquittal”.
“Dalam bahasa Melayu, dilepaskan tanpa dibebaskan. Macam haiwan zoo. Dilepaskan dari kandang tapi tidak bebas keluar daripada kawasan zoo,” katanya.
Beliau secara sinis menyatakan jangan pula kelirukan DNAA dengan DNA atau deoxyiribonucleic acid (Asid deoksiribonukleik).
“Kalau kita suka baca cerita jenayah atau tonton filem penyiasatan jenayah (macam CSI), kita akan tahu fungsi DNA. DNA yang berupa komponen kimia utama kromosom adalah bahan yang menghasilkan “gene” (keturunan).
“Nak mudah faham, punca keturunan adalah air mani. Jadi bila ada air mani, adalah DNA. DNA seorang manusia berbeza dengan manusia Iain – macam cap ibu jari juga.
“Jadi DNA inilah yang penyiasat cari di tempat kejadian sama ada bunuh, rogol, liwat, samun, pecah rumah dan sebagainya.
10. Kecuali lah si penjenayah ditangkap tengah hari terang benderang macam lelaki 60 tahun di Kampung Sungai Buaya, Rawang yang “merogol” kambing betina sampai mati pada bulan Julai 2021. Dia ditangkap “red handed” dan mengaku salah. Dia dihukum penjara enam tahun. Lagi pun dia ini “repeat offender” dengan tiga rekod lampau,” jelas beliau.
Kemudian kata A.Kadir ada satu lagi iaitu AAD.
“Inilah yang sangat-sangat diharapkan oleh OKT (orang kena tuduh). AAD ini adalah singkatan kepada “acquitted and discharged” yang dalam bahasa Melayu dibebaskan dan dilepaskan.
“Kita janganlah terkejut dan kecewa kalau selepas DNAA menyusul AAD seperti yang diperingatkan oleh ahli falsafah dan perubatan Inggeris John Locke: “Where-ever law ends, tyranny begins” (di mana saja undang-undang berakhir, kekejaman bermula),” katanya.