Menuntut Semula Kedaulatan: Mengemudi Pengaruh China di Malaysia

- Advertisement -

Ketika negara menyambut Hari Malaysia yang ke-60, satu persoalan penting timbul: Bagaimanakah Malaysia akan dapat mengimbangi aspirasi ekonominya dengan kedaulatan negara? Persoalan ini menimbulkan rasa resah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hubungan Malaysia-China akan menjadi semakin erat, khususnya apabila China memberikan sokongan padu terhadap Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030.

NIMP Anwar dan Penglibatan Kontroversi Huawei
Dalam pertemuan dua hala baru-baru ini dengan Perdana Menteri China Li Qiang, Anwar Ibrahim telah mengisytiharkan sokongan China terhadap NIMP 2030 Malaysia. Pelan bercita-cita tinggi ini bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030 dengan unjuran jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion. Anwar juga menekankan peranan syarikat seperti Huawei dalam usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara ini, walaupun terdapat banyak kontroversi yang menyelubungi gergasi teknologi tersebut.

Huawei:

Isu Kontroversi
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri mengenai peranan Huawei sebagai pelabur utama yang berpotensi ke Malaysia menimbulkan kegusaran yang amat nyata. Hubungan Huawei yang dikatakan sebuah entiti perniagaan yang amat rapat dengan kerajaan China, khususnya dalam hal mengenai potensi pengintipan, telah menyebabkan syarikat itu diharamkan atau disekat di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat dan Australia. Dengan menjadikan Huawei sebagai pelabur utama NIMP, Anwar Ibrahim dilihat sedang membuka pintu kepada kontroversi yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan hubungan diplomatik Malaysia, terutamanya dengan negara-negara yang tidak sehaluan dengan China. Kita melihat, Anwar Ibrahim sedang merencana satu lagi kegagalan perusahaan mega Malaysia-China sepertimana yang telah terjadi kepada projek Forest City di Johor suatu masa dahulu.

Forest City:

Isu Rumit Pelaburan China
Forest City, yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Jalan Raya China, mempunyai anggaran saiz pelaburan sebanyak RM400 bilion. Walaupun projek itu nampaknya menjanjikan keuntungan kepada kedua-dua belah pihak, ia telah mengenepikan rakyat Malaysia daripada mendapat hasil limpahan ekonomi. Projek tersebut memberikan keuntungan kepada pelabur asing yang kaya – yang mana 70% daripadanya pelabur berasal dari China. Sekaligus pada dasarnya memintas kepentingan masyarakat tempatan Malaysia, lantas menimbulkan banyak persoalan mengenai pengagihan manfaat yang saksama hasil daripada projek mega tersebut.

Melangkaui Aspek Ekonomi:

Pengintipan, Kedaulatan Negara dan Hak Asasi Manusia
Walaupun isu ekonomi seperti Forest City dan NIMP 2030 semakin mendesak, ia hanya sebahagian daripada permasalahan yang timbul akibat sikap China terhadap negara-negara serantau, khususnya di Asia Tenggara. Kebimbangan tentang keupayaan pengintipan Huawei, tindakan biadab dan agresif China di Laut China Selatan, dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap Muslim Uyghur di Xinjiang menambahkan lapisan kerumitan kepada hubungan Malaysia-China.

Dilema Perundangan:

MOU dan Kedaulatan
Dalam lawatannya, Anwar mengumumkan pemeteraian tiga MOU bernilai RM19.84 bilion dengan syarikat China. Walaupun perjanjian ini kelihatan menjanjikan kemakmuran kepada kedua-dua pihak, ia perlu diteliti dengan berhati-hati. Syarat dan peraturan yang ditetapkan melalui perkataan-perkataan perundangan yang kompleks, contohnya menggunakan perkataan seperti “perjanjian konsesi,” boleh menjejaskan kedaulatan negara kita, sepertimana yang telah terjadi dengan pajakan 99 tahun Pelabuhan Hambantota Sri Lanka kepada China.

Kesimpulan:

Kita Sebagai Sebuah Negara Harus Sentiasa Berhati-Hati.
Sempena menyambut Hari Malaysia yang ke-60, hubungan erat Malaysia-China seharusnya memerlukan perbincangan yang lebih mendalam dan teliti. Kita mengakui bahawa pertumbuhan ekonomi adalah suatu perkara yang amat penting, namun adalah tidak wajar dalam usaha untuk meraih keuntungan ekonomi, kita berisiko untuk mengorbankan kedaulatan, keselamatan dan kebebasan kita sebagai sebuah negara.

Kita perlu akui bahawa rundingan berterusan yang dilaksanakan oleh Anwar Ibrahim ini menunjukkan trajektori positif hubungan bilateral Malaysia-China, tetapi adalah penting untuk hubungan dua hala ini perlu diurus dengan teliti, telus dan sejajar dengan kepentingan jangka masa panjang Malaysia.

Nota: Artikel ini tidak mewakili pandangan mana-mana organisasi tertentu. Ia bertujuan untuk mencetuskan perbincangan tentang implikasi hubungan Malaysia dengan China, terutamanya berdasarkan pelan dan komitmen baharu yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat