KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa membalas sindiran Datuk Puad Zarkashi dengan menyatakan adalah berada di saf belakang perjuangan berlandaskan Islam berbanding menjadi hero dalam barisan yang menjulang mereka yang dibenci atau menolak muafakat orang Islam.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu menegaskan bahawa pegangan beliau dengan Puad berbeza.
“Puad tidak perlu menyindir Islam atau parti yang berhasrat memperjuangkan Islam.
“Apa yang pasti adalah lebih baik berada di saf belakang perjuangan berlandaskan Islam dan muafakat berpaksikan Islam daripada menjadi hero dalam saf perjuangan yang menjulang mereka yang benci, atau menolak Islam serta mufarakah daripada muafakat orang Islam.
“Pegangan kita berbeza,” balas Annuar dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Tambah bekas Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, lazimnya beliau jarang melayan serangan Puad .
“Kali ini saya ingin beri sedikit reaksi tentang tulisannya yang “bersimpati” dengan saya kerana tidak terpilih menjadi calon PAS. Saya ucapkan terima kasih kepada Puad. Cuma sedikit malang kerana Puad menggunakan nilai hidup dia untuk menyukat perasaan saya.
“Saya bukan Puad Zarkashi. Puad sewaktu berjawatan tinggi dalam parti dan kerajaan telah memberontak apabila nama beliau tidak dipilih menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU). Beliau meletak jawatan dan mahu bertanding menentang calon partinya sendiri. Malah ada tuduhan beliau sabotaj Ketua Wanita beliau yang telah dipilih jadi calon. Saya tidak begitu.
“Saya juga berbeza dengen Puad di mana sebagai Ketua Umno Bahagian, saya jaga anak buah saya sebaiknya, walau ketika saya tiada apa apa jawatan. Saya pimpin Umno Bahagian Ketereh lebih 35 tahun, tidak pernah ditewaskan. Puad tewas jawatan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat ketika dia ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), wakil rakyat dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor,” katanya.
Annuar malah menegaskan, beliau dan Puad jelas berbeza dari segi nilai hidup dan politik.
“Kita berbeza kerana kita punya nilai hidup dan politik yang berbeza.
“Menjadi calon bukan matlamat perjuangan saya. Memilih calon, hak parti.
“Kita boleh memasang hasrat. Jika dipilih, ia satu amanah dan jika tidak, ia bukan segala-galanya sehingga kita nak merajuk. Apa lagi menggugut dan menggugat parti sendiri,” bidasnya.
Terdahulu, Ahli MKT Umno, Datuk Puad Zarkashi dalam nada sinis menyindir Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa kerana tidak dicalonkan PAS untuk bertanding mana-mana kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Puad malah mendakwa, tindakan PAS itu tentunya mengundang sakit hati Annuar.
“Kesian Annuar Musa. Mungkin ramai yang terkejut bila PAS tidak mencalonkan Annuar. Sebenarnya Annuar sahaja yang terkejut.
“Dia boleh bagi apa sahaja alasan. Hati tetap sakit. Tanpa kedudukan dia hilang platform untuk musnahkan Umno. Cakap cakapnya mungkin tidak lagi dipedulikan,” bidas Puad dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
ADUN Rengit itu malah memerli Annuar agar tidak terkilan dengan tindakan PAS memandangkan beliau kini sudah memiliki pahala yang banyak kerana telah menjadi ahli parti Islam.