Bakat, kontroversi beri impak bolos ABPBH 35

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang memasuki edisi ke-35 membawa pelbagai pembaharuan bersesuaian dengan perubahan landskap industri hiburan era digital.

Dengan kemunculan ramai bakat baharu yang berjaya membolosi pencalonan awal ABPBH 35, ia dilihat berpotensi meneruskan legasi bintang berkaliber dalam industri seni tanah air.

ABPBH 35 mengangkat tema Ekspresi Legasi Seni, sekali gus membawa peminat menelusuri evolusi industri kreatif bermula dari era kegemilangan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma hingga bakat pelapis era digital.

Antara calon termuda menyinari ABPBH 35 kali ini adalah pelakon remaja, Idan Aedan, 18, apabila membolosi dua kategori utama, Aktor Filem Lelaki Popular dan BBNU Lelaki Popular.

la sekali gus membuktikan bakat Idan dalam bidang lakonan bukan calang-calang.

Mengakui teruja saat mengetahui nama menembusi pencalonan awal ABPBH 35, teraju utama filem Anak Rimau The Movie itu mengakui teruja dapat menghadiri anugerah berprestij yang menjadi impiannya sejak kecil itu.

“Sudah tentu saya teruja, apatah lagi ABPBH adalah salah satu anugerah yang saya impikan. Ini adalah kali pertama menembusi pencalonan ABPBH, jadi boleh katakan peluang ini membuka lembaran baharu dalam karier seni saya.

“Mungkin saya akan mengadakan sesi bertemu peminat untuk lebih menghebahkan pencalonan awal dalam ABPBH 35.

“Saya tidaklah terlalu meletakkan harapan tinggi untuk membolosi kelompok Top 5 atau memenangi salah satu kategori sebab saya bersaing dengan calon lain yang hebat.

“Bagaimanapun, sekiranya berpeluang berada dalam kelompok Top 5, itu sudahpun membuatkan saya bersyukur,” katanya kepada BH Online.

Meluahkan perasaan sama, pelakon Sharifah Rose yang juga calon bagi kategori Aktres TV Wanita Popular dan Gandingan Serasi Drama Popular.

 

Malek Mccrone (kiri) dan Idan Aedan (kanan), dua bintang baharu yang mula menyerlah menerusi bakat yang berjaya membolosi pencalonan awal dalam kategori BBNU Lelaki Popular.
Malek Mccrone (kiri) dan Idan Aedan (kanan), dua bintang baharu yang mula menyerlah menerusi bakat yang berjaya membolosi pencalonan awal dalam kategori BBNU Lelaki Popular.

 

Pelakon berusia 25 tahun itu tidak pernah menyangka namanya mampu lolos dalam kelompok Top 20 bersama barisan pelakon popular lain.

“Saya terkejut, teruja dan berbangga apabila dicalonkan bersama barisan pelakon yang memang menjadi inspirasi saya dalam dunia seni.

“Menembusi pencalonan dalam mana-mana kategori untuk ABPBH 35 sudah memadai, apatah lagi, saya masih mentah dalam dunia lakonan.

“Sekiranya berjaya berada dalam kelompok Top 5 kemungkinan ia akan membuatkan saya lebih terkejut. Saya dicalonkan menerusi debut pertama dalam dunia lakonan iaitu drama Kekasih Hati Mr Bodyguard.

“Jadi, tercalon pun sangat mengejutkan, apatah lagi menang,” katanya.

Seterusnya, pelakon sensasi, Sophia Albarakbah, 30, bersyukur apabila namanya tersenarai buat kali kedua di pentas ABPBH, biarpun namanya mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.

“Saya tidaklah meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menang dalam mana-mana kategori. Sekiranya berpeluang atau memang layak menang, saya tentunya bersyukur.

“Sejujurnya, saya masih belum merancang untuk menjalankan kempen dalam pengundian ABPBH 35 sebab baru sahaja tahu nama tercalon.

“Bagaimanapun, akan ada perancangannya tidak lama lagi. Jika lihat calon lain semuanya hebat-hebat, apa yang saya boleh katakan, kita lihat sahaja keputusannya nanti.

“Ada atau tidak kontroversi, saya percaya masing-masing ada peminat tersendiri. Ia tidak memberi sebarang perbezaan untuk seseorang selebriti.

“Saya mahu orang mengenali saya menerusi bakat,” katanya yang dicalonkan menerusi kategori BBNU Wanita Popular, Aktres TV Wanita Popular, Gandingan Serasi Drama Popular dan Aktres Filem Wanita Popular.

 

Antara barisan artis yang membolosi senarai pencalonan awal ABPBH 35. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Antara barisan artis yang membolosi senarai pencalonan awal ABPBH 35. – NSTP/Hairul Anuar Rahim

 

Sementara itu, calon awal bagi kategori BBNU Lelaki Popular, Malek Mccrone, 29, menyifatkan usaha keras mendalami bidang lakonan terbayar apabila berjaya melayakkan diri dalam ABPBH 35.

“Saya hargai dan mensyukuri peluang berada dalam pencalonan awal ABPBH 35 ini. Selepas berusaha mendalami ilmu lakonan dengan menyertai pelbagai kelas, mungkin ini adalah bayaran hasil kerja keras selama ini.

“Namun, masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk melangkah ke tahap seterusnya.

“Saya berbangga apabila nama membolosi pencalonan awal dalam kategori yang turut menampilkan nama-nama besar.

“Harapan saya tentunya mahu tersenarai dalam kelompok Top 5, tetapi semuanya bergantung kepada rezeki. Sekiranya ada peluang, ia sangat bermakna bagi saya,” katanya.

Tidak kurang juga buat bakat baharu, Alicia Amin, 28, yang melihat ABPBH 35 sebagai satu platform pengiktirafan bermakna, selain pencapaian baharu dalam karier sebagai pelakon.

“Ini adalah kali pertama saya dicalonkan dalam ABPBH. Sejujurnya, sangat terkejut.

“Apabila dimaklumkan membolosi dua kategori, Aktres Filem Wanita Popular dan Couple Filem Popular lagilah saya tidak sangka. Ini satu penghormatan apabila kehadiran saya diterima.

“Pencalonan awal ABPBH 35 membuatkan saya lebih gembira dan bersemangat.

“Namun, pada akhirnya, ia bergantung kepada rezeki sama ada mampu membolosi kelompok Top 5, seterusnya menang atau tidak.

“Ini juga pertandingan, jadi saya mengharapkan yang terbaik. Sesiapa menonton lakonan saya, itu antara perkara yang amat dihargai,” katanya yang bintang yang mengukir nama menerusi filem The Disappearance of Irdina Adhwa itu.

 

Penyanyi duo adik-beradik, Aiman dan Alin Sidek Tak sangka populariti lagu Cinta Sejati berjaya melonjakkan nama sehingga membolosi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.
Penyanyi duo adik-beradik, Aiman dan Alin Sidek Tak sangka populariti lagu Cinta Sejati berjaya melonjakkan nama sehingga membolosi kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

 

Bekas hos program hiburan H!Live, Ahirine Ahirudin yang menembusi dua kategori, Aktres Filem Wanita Popular dan Couple Filem Popular memberi peluang kepadanya untuk lebih mendekatkan diri dengan peminat.

Pelakon filem Gadis Jolobu The Movie itu mengakui, masih banyak ilmu lakonan perlu diperbaiki, justeru tidak menyangka namanya mampu berdiri sebaris pelakon terkenal lain.

“Saya bersyukur dengan pencalonan ini, tak sangka nama tembusi pencalonan. Saya sedar banyak yang harus diperbaiki lagi.

“Soal strategi mahu menang, saya belum memasang apa-apa strategi memandangkan baru sahaja mengetahui mengenai pencalonan ini.

“Namun, saya akan mengadakan sesi beramah mesra bersama peminat bagi merapatkan hubungan, dari situ barulah saya boleh merangka strategi bersama,” katanya.

Sementara itu, pasangan adik-beradik, Aiman Sidek dan Alin Sidek pula tidak menyangka lagu Cinta Sejati berjaya melonjakkan nama di persada muzik tanah air.

Aiman yang juga bekas peserta program Akademi Nasyid 2009 berkata, sejak lagu Cinta Sejati trending dan sering diputarkan di corong radio, rezeki dalam bidang muzik kian mencurah-curah.

Namun, Aiman dan Alin tidak menyangka dek kerana lagu itu juga, nama mereka dicalonkan pula dalam kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

“Semestinya kami amat teruja. Tak sangka populariti lagu Cinta Sejati berjaya melonjakkan nama kami sehingga tahap ini.

“Kami belum ada strategi kerana masih tidak percaya mampu membolosi pencalonan awal ini.

“Saya dan Alin akan cuba melakukan sesuatu, namun tidak meletakkan harapan tinggi kerana sedar nama penyanyi yang turut dicalonkan hebat-hebat,” kata Aiman.

Pelancaran ABPBH 35 menandakan bermulanya proses pengundian Top 20 secara dalam talian membabitkan 12 kategori utama dan tujuh kategori Ekstra! dengan melayari www.abpbh.com.my hingga 11 Jun depan.

Undian boleh dilakukan sama ada secara percuma ataupun pakej langganan BH digital.

Magis malam kemuncak ABPBH 35 bertemakan Ekspresi Legasi Seni dibawakan penaja utama, produk kesihatan wanita terkemuka Jelly Ajaib Bellrossa, keluaran Fellera akan disiarkan secara langsung di saluran TV3 dan Strim Live HD di Tonton, termasuk YouTube TV3 dan BH dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 21 Julai depan.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat