KUALA LUMPUR – Cinta palsu yang tiada rasa antara Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) ini pasti akan terlerai kerana rumah tangga mereka kini sedang berantakan, malah pada bila-bila masa boleh runtuh.
Ketua Penerangan PAS Pusat Khairil Nizam Khairudin berkata PAS melihat cinta palsu antara PH-BN hanyalah kerana kuasa dan jawatan selain mahu menyelamatkan kedudukan kelompok kluster mahkamah, di samping melunaskan hasrat seorang pemimpin yang ‘terlalu’ impikan untuk menjadi Perdana Menteri.
“PAS memandang serius luahan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mendakwa kerjasama itu tidak akan berjaya kerana “tiada rasa cinta” antara kepimpinan tertinggi parti atau di peringkat akar umbi.
“Ini adalah satu kenyataan yang benar dan telah dibuktikan dengan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang membayangkan tidak akan beri laluan kerusi buat BN di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Di Selangor, jawatan Ketua Pembangkang diberi kepada Umno, ini juga penghinaan jelas. Bila tiada cinta di jiwa antara PH dan BN, tiadalah pengorbanan demi setiakawan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Selain itu, kata Khairil Nizam DAP dan PH sebagai ‘Abang Long’ telah pun menggunakan kesempatan menunjukkan belangnya, pasti ramai wakil rakyat Umno amat tidak selesa seperti yang diluahkan oleh Ismail Sabri.
“PAS yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang cemas dengan situasi ini, Kerajaan Madani tanpa cinta ini pasti roboh.
“Namun lebih mendukacitakan Kerajaan Madani ini telah pun memangsakan rakyat kerana ketidakstabilan rumah tangga kahwin tanpa rela ini,” katanya.