KUANTAN – Program Jualan Rahmah yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan diperluaskan ke semua kawasan dewan undangan negeri (DUN) di Pahang.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, setakat ini ia sudah dianjurkan di 14 kawasan parlimen di Pahang dengan nilai jualan RM579,000.
“Sejak Januari lalu, progran Jualan Rahmah sudah diadakan di 3,223 lokasi merangkumi 118 kawasan parlimen.
“Nilai jualan direkodkan sehingga kini adalah RM54 juta dan KPDN juga melancarkan program Jualan Rahmah sempena Aidilfitri yang bermula hari ini dan esok,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Terdahulu, Fuziah melancarkan program Jualan Rahmah Aidilfitri peringkat Pahang di Felda Chini, dekat Pekan.
Program jualan itu menawarkan 70 barangan merangkumi barangan keperluan asas dan keperluan harian.
Semua barangan itu dijual pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga semasa.
“Untuk hari ini, kita tawarkan ayam segar pada harga RM10 seekor, biasanya harga jualan RM9.40 sekilogram.
“Jadi, saya harap penduduk sekitar FELDA Chini tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai lagi barangan pada harga yang sangat rendah,” katanya.