CYBERJAYA – Kedudukan empat ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang bertanding menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kini bertindak keluar parti akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti, lapor Sinar Online.
Memetik laporan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan itu akan diambil di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Bersatu negeri Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun mantan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan pengikutnya mengumumkan keluar parti.
“Badan Pimpinan Negeri, Bahagian dan Cawangan Bersatu di Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan hanya MPT yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya,” katanya.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) turut meluahkan kekecewaan dan menyelar tindakan keempat-empat ahli Parlimen berkenaan yang disifatkan mengkhianati parti dan rakyat Sabah serta tidak setia kepada perjuangan parti itu.
“Saya kecewa dengan sikap mantan kepimpinan Bersatu Negeri Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan tinggi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah lalu.
“Lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN,” ujarnya.
Semalam, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah mengumumkan beliau dan tiga lagi ahli Parlimen Bersatu Sabah serta hampir semua kepimpinan parti meninggalkan Bersatu dan akan menubuhkan parti tempatan baharu.
Hajiji berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan keadaan lanskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.
Selain itu tegasnya lagi, keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.
Ini katanya kerana di peringkat Persekutuan Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.