Syor buka pustaka kenang Sudirman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketika hayatnya, bukan sedikit pengorbanan penghibur bertaraf nasional ini dalam merakyatkan seni.

Sehingga hari ini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992, dikenang sebagai penghibur berjiwa rakyat sejak menawan hati peminat selepas menjuarai Bintang RTM pada 1976.

Pada era kegemilangannya, apa sahaja yang dilakukan Allahyarham Sudirman menjadi ikutan. Sanjungan terhadapnya diwarisi termasuk peminat generasi muda yang kagum dengan kebolehan anak kelahiran Temerloh, Pahang ini.

Namun, dalam mengingati penghibur Nombor Satu Asia ini, selain foto, rakaman audio dan video serta produk seni, tidak banyak aset ditinggalkan penyanyi Merisik Khabar ini, melainkan trofi kemenangan dan pakaian di Muzium Diraja Pekan, selain kemungkinan koleksi simpanan keluarga atau kenalan rapat, yang dapat dipamerkan kepada peminat.

Lantas, apabila entri memaparkan foto terkini rumah yang menjadi tempat Sudirman membesar dimuat naik Presiden Kelab Peminat Sudirman, Ramlan Md Isa di akaun Facebook (FB), Datuk Sudirman Haji Arshad pada 31 Mei lalu, menjadi viral, netizen mula memperkatakan mengenai tinggalan usang berupa tangga konkrit dan lantai kayu yang dahulunya rumah tempat Sudirman, ibu bapa dan enam adik beradiknya, berteduh.

Terletak di Kampung Tok Embun, Mentakab, rumah yang pernah dihuni Sudirman kini ditumbuhi semak dan dikelilingi pokok besar.

Melihat keadaan terkini rumah itu, banyak pihak meminta pihak berkepentingan mengambil usaha memulihkan kediaman terbabit termasuk mencadangkan dibangunkan pustaka peringatan atau galeri khas mengenang arwah Sudirman, seperti Pustaka Peringatan P Ramlee di Kuala Lumpur dan rumah kelahiran Seniman Agung itu di Pulau Pinang.

Ramlan berkata, pada 2018, kelab pernah mengutuskan surat kepada Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, mengusulkan cadangan mewujudkan galeri peringatan Sudirman.

“Kami dimaklumkan surat itu kemudian dipanjangkan kepada Arkib Negara Malaysia. Kami dapat maklum balas daripada pihak terbabit bahawa cadangan kami diterima.

“Namun, selepas empat tahun berlalu, belum nampak sebarang usaha dilakukan kerajaan. Tahun ini, kami sekali lagi menghantar surat kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memandangkan beliau berasal dari Pahang.

“Bagaimanapun, setakat ini, belum ada maklum balas diterima,” katanya.

 

Ramlan bersama anak saudara kesayangan Allahyarham Sudirman, Atai.

 

Ramlan berkata, dia dan ahli kelab seramai lebih 40 orang, berharap pustaka peringatan dibina di tapak kediaman rumah keluarga Sudirman berikutan arwah memberi sumbangan besar kepada dunia seni tempatan.

“Terbit rasa terkilan kerana jika diikutkan, sumbangan Sudirman buat negara cukup besar.

“Contohnya, setiap kali Hari Kebangsaan, lagu-lagu arwah seperti Warisan sering diputarkan.

“Sepatutnya, sesuatu dilakukan bagi menghargai jasa Sudirman seperti P Ramlee di mana diwujudkan Pustaka P Ramlee di Kuala Lumpur dan kediaman di Pulau Pinang,” katanya.

Ramlan berkata, tidak lama selepas Sudirman meninggal dunia, ada ura-ura membina memorial atau galeri peringatan di tapak rumah terbabit diusulkan, namun tidak berhasil.

Tambahnya, kelab pernah berbincang dengan keluarga Allahyarham Sudirman mengenai perkara itu, namun ahli keluarga penyanyi itu segan dan enggan meminta-minta.

“Kami pernah berbincang dengan kakak arwah, Datin Rodziah Arshad dan anak saudaranya, Atai mengenai penubuhan pustaka peringatan untuk Sudirman.

“Mereka berharap ada usaha dilakukan kerajaan tetapi mereka segan meminta-minta.

“Hasrat kami, sekurang-kurangnya, apabila ada tempat sebegini, generasi akan datang tahu sumbangan Allahyarham Sudirman kepada negara,” katanya.

Ramlan pernah dihubungi pelajar universiti yang mahu membuat kajian mengenai Sudirman tetapi tidak tahu mana hendak dituju.

“Setidak-tidaknya, dengan adanya memorial peringatan, mereka ada tempat khas untuk buat rujukan.

“Selain itu, jika ada tempat khas, koleksi barangan Sudirman boleh diletakkan di situ, bukannya di merata-rata tempat,” katanya.

Mengikut perkongsian penduduk tempatan, Allahyarham Sudirman membesar di rumah terbabit sehingga tamat sekolah menengah sebelum menyambung pengajian undang-undang di Universiti Malaya (UM) pada era 1970-an.

Ketika aktif dalam dunia seni, Sudirman diceritakan sering pulang ke rumah berkenaan sebelum meninggal dunia pada 1992.

Pada 2008, dilaporkan berlaku kebakaran yang mengakibatkan sebahagian besar kediaman terbabit, musnah.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat