KUALA LUMPUR: Konsert Slam Mentari Muncul Lagi yang pernah tertangguh sebanyak dua kali tetap diteruskan esok, selagi tiada arahan menghentikan persembahan secara terbuka oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ini berikutan angka jangkitan semakin meningkat sejak beberapa hari ini sehingga mencecah lebih 17,000 sehingga ramai yang tertanya-tanya mengenai status konsert berskala besar yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.
Vokalis Slam, Zamani berkata, Konsert Slam Mentari Muncul Lagi tetap diadakan, namun, mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan melakukan ujian calitan kendiri.
“Kami berharap peningkatan kes COVID-19 tidak membawa sampai sekatan dan sebagainya. Apapun, kami hanya mampu berserah pada takdir.
“Sekiranya, konsert harus dihentikan, kami akur dengan arahan MKN. Bagaimanapun, Slam tetap berdoa dapat dilaksanakan dengan kawalan SOP ketat.
“Slam juga berharap penganjuran konsert ini dapat membuka jalan untuk penyanyi lain melakukan perkara sama selepas hampir dua tahun industri hiburan lumpuh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya kepada BH Online.
Konsert Slam Mentari Muncul Lagi dijangka berlangsung selama dua jam dengan membariskan 20 lagu popular kumpulan popular yang ditubuhkan pada 1991 itu.
Tidak sabar menghiburkan peminat secara langsung selepas kali terakhir muncul dalam konsert, empat tahun lalu, kumpulan yang turut dianggotai Shah selaku pemain gitar, Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili (bass) kini giat menjalani latihan, sejak dua minggu lalu.
Shah berkata, dia risau memandangkan latihan hanya sempat dijalankan selama dua minggu.
“Kami sepatutnya menjalani latihan selama sebulan, namun, disebabkan kekangan masa dan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, sesi latihan dimulakan agak lewat.
“Setakat ini, persiapan sudah mencecah 80 peratus. Pada mulanya, saya risau memandangkan latihan bermula lewat, tetapi Slam membuat keputusan memakai susunan muzik sedia ada, namun ditambah baik pada sesi latihan.
“Slam menjalani latihan hampir 10 jam setiap hari bagi memastikan peminat berpuas hati menonton konsert ini.
“Lagipun, sudah lama Slam tidak membuat persembahan bersama, jadi tentunya tidak mahu menghampakan harapan peminat.
“Pada malam itu, kami akan menyanyikan lagu-lagu popular Slam dan tidak merancang memperkenalkan lagu baharu kerana tidak sempat berbuat demikian,” kata Shah.

Sementara itu, pemain bass, Lili yang berasal dari Singapura sanggup turun ke Kuala Lumpur bagi beraksi bersama anggota Slam yang lain.
Lili berkata, dia turun lebih awal bagi mengelakkan timbul masalah di Jabatan Imigresen.
“Umur sudah meningkat, jadi saya cuba ikhtiar untuk bersama dengan anggota lain dalam persembahan yang membabitkan Slam.
“Disebabkan itulah, saya sanggup turun lebih awal ke Kuala Lumpur kerana tidak mahu timbul sebarang masalah jika datang pada saat akhir. Saya bimbang berdepan sekatan Jabatan Imigresen,” katanya.
Mengulas Konsert Slam Mentari Muncul Lagi, Zamani berkata, dia terpaksa duduk sepanjang persembahan memandangkan pergerakan yang terhad.
Apa yang penting, kata Zamani, dia dapat menyampaikan 20 lagu dengan baik demi tidak menghampakan harapan peminat.
“Besar kemungkinan saya akan lebih banyak duduk. Bagi peminat yang mengharapkan saya beraksi lincah mungkin terpaksa menerima keadaan saya.
“Lebih utama, kami dapat meraikan peminat selepas sekian lama tidak muncul dalam konsert berskala besar.
“Alhamdulillah, peminat faham dengan keadaan saya. Malah, ketika membuat tinjauan dalam laman sosial dengan mempersoalkan bagaimana saya lebih banyak duduk, nyata peminat tidak kisah.
“Namun, jika rasa ingin bangun untuk bertemu peminat, saya akan cuba melakukannya,” katanya.
Terdahulu, Slam membuat konsert pertama berskala besar di Stadium Negara menerusi Slam Live Concert Unplugged pada 1996.
Slam pernah mencuri tumpuan menerusi lagu Jika Kau Rasa Getarnya, Kita Terpaksa Bermusuhan, Kembali Merindu, Tak Mungkin Berpaling serta banyak lagi.
Kumpulan itu pernah menerima Anugerah Kembara, Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-4 pada 1997.
Beita Harian