Warga Emas Terima ‘Angpao’, Bantuan Sewa Bulanan Rumah Ditanggung Setahun Lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tahun Baharu Cina kali ini amat bermakna buat warga emas Leong Choong Keong, apabila bantuan bayaran sewa bulanan kediamannya dilanjutkan untuk tempoh setahun lagi.

Leong, 66, pernah mendapat perhatian pelbagai pihak pada Februari tahun lepas, selepas beliau didapati tinggal di dalam pondok usang di kelilingi semak di kawasan Kampung Baru Salak Selatan.

Nasibnya itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan, dengan membantu menanggung bayaran deposit dan sewa bulanan rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan.

Hari ini, Annuar bersetuju untuk melanjutkan bantuan tanggungan sewa bulanan kediaman warga emas itu, yang sepatutnya berakhir April ini, untuk tempoh setahun lagi sehingga April 2023.

“… kebetulan nak raya ni (Tahun Baharu Cina), saya datang. Saya seronok juga datang tengok rumah beliau masih dalam keadaan bersih, mengambil kira beliau pernah duduk dalam keadaan yang sangat daif sebelum ini, dan beliau sangat jaga kebersihan rumah ini.

“… dulu dia ada seorang kakak tapi telah meninggal dunia, jadi beliau tiada mata pencarian. Oleh itu, saya akan tanggung (sewa bulanan rumah) setahun lagi sehingga 2023,” kata Annuar kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan Tahun Baharu Cina kepada Leong di kediamannya hari ini.

Tahun lepas, Leong ditemui menghuni pondok usang yang hanya berbumbung zink reput serta berdindingkan kain selimut dan plastik.

Lebih menyedihkan, beliau juga masih menggunakan kad pengenalan lama (kad pengenalan plastik) yang sudah hampir reput, menyebabkan beliau tidak dapat memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, serta kemudahan-kemudahan lain yang disediakan kerajaan.

Bagaimanapun, kad pengenalan itu telah diganti dengan MyKad pada Mac tahun lepas menerusi Program Mekar, iaitu program turun padang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada golongan memerlukan. – Bernama

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat