Muafakat Tak Berkat Diselubungi Ego, Benci Dan Kepura-puraan – Zahid

KUALA LUMPUR – Tiada keberkatan dalam istilah muafakat apabila sebilangannya diselubungi agenda keegoan, kebencian dan kepura-puraan,” demikian pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan Muafakat Nasional (MN).

Jelasnya kerana itu UMNO perlu bijaksana mentafsir antara muafakat yang jujur berbanding sebuah muafakat yang terselindung tipu daya.

“Mencipta pelbagai alasan baharu untuk menjustifikasikan kononnya UMNO tidak mematuhi piagam merupakan alasan politik ibarat menukar fatwa mengikut selera politik.

“Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut ‘nas’ yang sahih bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah.

“Natijah gagal menilai itu sangat tidak baik terhadap UMNO, malah musibahnya jauh lebih berbahaya kepada rakyat dan negara,” ujar Zahid.

Sebab itu beliau menegsakan, UMNO mempercayai Muafakat Nasional (MN) yang asal adalah sebenar-benar muafakat yang terbina atas keikhlasan.

“MN di atas landasan perjuangan yang sama iaitu keinsafan untuk berpadu menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman.

“UMNO telah berusaha mengekalkan kemuafakatan itu termasuk dalam PRN Melaka, namun bertepuk sebelah tangan.

“Pimpinan PAS sering menyatakan menyokong MN, tetapi di Melaka menolak pelawaan UMNO untuk berpadu atas nama MN.

“Pimpinan PAS membuat keputusan untuk bergandingan dan bersama Bersatu yang diketahui tujuannya menjatuhkan UMNO,” bidas beliau.

Pun begitu Zahid berkata, UMNO namun menghormati pendirian dan hak pimpinan PAS untuk bersama PN itu kerana inilah sebuah negara demokrasi.

Malah tegas beliau, UMNO tidak pernah mengarahkan Pas tentang hala tuju politiknya atas semangat kemuafakatan MN yang dimeterai.

“Tetapi ketahuilah, UMNO sedari awal telah pun berada dalam sebuah kemuafakatan rakyat iaitu Barisan Nasional (BN).

“Muafakat harus membawa berkat dan tidak sesekali mengundang padah terhadap mana-mana pemegang taruh kemuafakatan. Muafakat biarlah membawa kebaikan kepada semua, bukan untuk dimanipulasi oleh yang berdendam kesumat ke atas UMNO,” katanya.

Kata beliau, sejarah ketamadunan mengajar bahaya musuh dalam selimut licik mengambil kesempatan atas kenaifan melakukan kemusnahan.

“Semangat perpaduan di negara kita itu hendaklah dipertahankan oleh semua rakyat demi negara tercinta.

“Hidup muafakat membawa berkat, berat sama dipikul ringan sama dijinjing, bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat yang jujur.

“Biar fakta berbicara,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata tindakan UMNO melanggar Piagam MN menjadi punca PAS menolak untuk bersama gabungan itu.

Katanya, ketika MN ditubuhkan, piagam atau perjanjian yang dibuat menyatakan bahawa gabungan itu boleh menerima parti-parti lain termasuk Parti Bersatu.

Menurutnya, malah dalam piagam itu juga, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh menyertai MN.

“Tapi malangnya bila sampai peringkat pelaksanaan terdapat dalam kalangan pimpinan UMNO yang mahu PAS dengan UMNO sahaja. Itu sudah lari daripada perjanjian. Kita berpegang pada perjanjian.

“Dia tak boleh menyalahkan PAS, nak suruh PAS dengan UMNO sahaja tak boleh, sebab kita dah berjanji dengan parti-parti lain,” katanya.