KUALA LUMPUR – Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan manusia sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukannya dirangka dan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata SOP berkenaan digubal oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain itu, katanya, SPR hanya mengemuka input lain berkaitan berhubung pemakaian simbol parti dan perkara lain yang berkaitan pengundian.
“Saya sebentar tadi ada berbincang secara ringkas mengenai apa yang berlaku di Melaka dan yang bakal berlaku di Sarawak berkenaan SOP (PRN) ini.
“Bukan SPR yang terlibat sebenarnya. Ini semua di bawah bidang kuasa MKN dan KKM. SPR ialah untuk menggalakkan demokrasi, bukannya berhubung keselamatan manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Isnin.