KUALA LUMPUR – Direkodkan sebanyak 807 kemalangan membabitkan kesalahan pemanduan kenderaan lawan arus sejak Januari lalu,” kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 29 kes maut direkodkan dan dan 17 kes cedera parah.
Menurut Ka Siong, sebanyak 49 kes lagi dibawah kategori nahas jalan raya ringan dan sebanyak 712 kes membabitkan kerosakan.
“Kajian mendapati bahawa faktor manusia merupakan penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutamanya yang memandu melebihi had laju, memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pemanduan tidak fokus (seperti menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah) dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.
“Faktor manusia ini pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu itu.
“Dalam kes berkaitan yang memandu lawan arus ini, kebelakangan ini telah kerap dilaporkan berlakunya kes-kes sedemikian yang disebabkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan perkara ini amat membimbangkan,”katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan daripada Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang mahu tahu statistik kemalangan melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus, faktor penyumbang terhadap kemalangan, dan langkah-langkah yang diambil untuk membendung kejadian.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, Kementerian Pengangkutan telah pun menguatkuasakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 mulai 23 Oktober 2020.
Kata Ka Siong lagi, pindaan ke atas hukuman sedia ada termasuk meningkatkan kadar denda serta tempoh penjara telah dilaksanakan khususnya berkaitan dengan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan juga dadah.
“Pindaan hukuman ini merupakan satu bentuk deterrence dan memupuk kesedaran dalam kalangan ramai supaya mereka mematuhi undang-undang, dan apabila ia dilaksanakan, jalan raya di negara kita ini akan kekal selamat. Selain itu, nilai ambang melibatkan had kepekatan alkohol di dalam darah yang dibenarkan juga telah dipinda.
“Kementerian Pengangkutan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga secara berterusan meneliti dan menilai semula aspek pembelajaran dan pengujian bagi mendapatkan lesen memandu ke arah memastikan kompetensi pemandu yang bakal dilahirkan berada pada tahap yang tertinggi,”katanya.