KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi mandat kepada Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan cadangan nama pimpinan daripada parti itu menganggotai Jemaah Menteri baharu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang diadakan baru-baru ini.
“Dalam mesyuarat yang berlangsung baru-baru ini, kita tidak bincang banyak mengenai menteri (daripada Bersatu) atau kementerian (yang perlu diberikan kepada Bersatu).
“Saya fikir hubungan Muhyiddin dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memang rapat. Kita dapat lihat hari pertama beliau (Ismail Sabri) dilantik (sebagai Perdana Menteri), beliau pergi ke rumah Tan Sri (Muhyiddin) dan bincang secara ilmiah.
“Jadi, kita tidak mahu ganggu (Muhyiddin untuk tentukan) siapa semestinya yang menjadi menteri daripada Bersatu, katanya memetik Sinar Harian.
Jelasnya, selaku presiden parti dan berpengalaman menerajui kerajaan serta kabinet sebelum ini, Muhyiddin diyakini mampu membuat keputusan terbaik.