KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membentangkan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan
sekiranya usul undi percaya diluluskan.
Kata beliau, kerajaan telah mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar Perikan Nasional (PN) untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Jelas beliau ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.
Menurut Muhyiddin tujuan beliau mengemukakan cadangan ini ialah untuk membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.
“Pada masa yang sama, saya juga seperti anda semua, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika
kemelut politik ini tidak diselesaikan segera.
” Maka, saya dengan penuh takzimnya menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan ini pada minggu hadapan. Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini.
” Sekiranya cadangan kerjasama bi-partisan ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi
percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.
” Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri dengan tema “Bersama Memulihkan Negara”, pada Jumaa, 13 Ogos.
Kata beliau lagi, keutamaannya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara.
Bagaimanapun kata Muhyiddin, usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat.
“Kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya ini diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif. Stabil dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh.
“Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik COVID-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara
ini bukan satu usaha perkara yang mudah. Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan
mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.
“Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.
Jelas Muhyiddin persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan; pertamanya ialah mengenai peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen.
“Baru-baru ini saya telah mengumumkan pemberian peruntukan 300 ribu ringgit kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira parti politik bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan. Atas semangat kerjasama bi-partisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik.
Kata Muhyiddin bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki.
” Kedua, bagi mendokong prinsip “Whole of Government” dan “Whole of Society” dalam memerangi pandemik COVID-19 , Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambah baik Pelan Pemulihan Negara.
“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan telah meneliti dan bersetuju untuk menerima beberapa cadangan dan input yang
telah diutarakan. Sejajar dengan cadangan yang telah diterima, kerajaan akan membentangkan untuk kelulusan Parlimen penambahan siling Dana COVID-19 sebanyak RM45 bilion dari RM65 bilion seperti yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion. Peningkatan ini akan membantu memenuhi keperluan tambahan dalam mengatasi krisis COVID-19 dari segi mengukuhkan sistem kesihatan, menambahbaik bantuan kepada rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya.
Perdana Menteri menambah, dalam menangani krisis kesihatan COVID-19, peruntukan tambahan akan disediakan untuk meningkatkan dan menyegerakan usaha menyaring kes
COVID-19, pengesanan kontak rapat dan pengasingan mereka yang positif atau test, trace and isolate. Kerajaan juga akan mengukuhkan sistem kesihatan terutamanya dalam menambah petugas kesihatan serta meningkatkan kapasiti wad ICU, termasuk penyumber luaran pesakit dari hospital awam ke hospital swasta, selaras dengan pendekatan “Whole of Nation”.
Manakala katanya, dari aspek bantuan kepada rakyat pula, Kerajaan komited untuk membantu golongan terjejas. Bantuan tunai sebanyak RM10 bilion akan disalurkan kepada 11 juta penerima dalam separuh kedua tahun 2021.
“Bantuan tunai bagi mereka yang memerlukannya akan diteruskan pada tahun 2022, bukan sahaja untuk golongan B40 tetapi juga meliputi bantuan bersasar kepada
golongan miskin tegar, miskin bandar dan M40 yang kehilangan pendapatan.
” Bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi, dana tambahan Kumpulan Wang COVID-19 akan digunakan bagi membantu insentif pengambilan pekerja serta meningkatkan pembiayaan kepada PKS, terutamanya dalam meraih peluang ekoran pembukaan semula ekonomi selaras dengan pelaksanaan PPN.
” Ketiga, sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu
Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
” Keempat, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.
“Jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen juga boleh ditambah untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat memainkan peranan semak dan
imbang yang lebih berkesan menerusi penglibatan mereka dalam jawatankuasa ini. Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50
peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang. Sejajar dengan
jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, Kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya.
Muhyiddin selain itu turut memberitahu bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa.
“Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini. Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan.
“Keenam rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan
semua Ahli Parlimen. Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Akhirnya yang Ketujuh, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan,” katanya.
Perdana Menteri menambah, beliau tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa.
Dalam keadaan ini katanya, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai.
Justeru katanya,bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa pilihanraya umum ke lima belas akan diadakan selewat-lewatnya pada
penghujung bulan Julai tahun hadapan.