KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Razlan Muhammad Rafii melepaskan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Keputusan itu dibuat susulan keputusan UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“UMNO sebagai parti yang menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan meletakan keutamaan kepada rakyat tidak akan mensia-siakan nasib rakyat yang sedang diabaikan oleh perdana menteri,” katanya.
Dalam kenyataan pada Khamis, Razlan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri yang melantiknya ke jawatan itu sebelum ini.
Selain itu Razlan juga mengucapkan terima kasih kepada warga kerja LTAT yang memberikan kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatannya.
Selain Razlan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi Boustead Holding Berhad, selepas dimulakan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi gambaran lebih ramai menteri daripada UMNO akan meletakkan jawatan dalam tempoh 48 jam, sehingga hari ini.