RAUB: Seramai 31 pelajar dan 10 kakitangan Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan (RuKTAA) menerima sumbangan sempena sambutan Aidilfitri bulan ini.
Pengerusi Kelab Anak Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sumbangan dengan kerjasama Daengco Sdn Bhd ini adalah sebagai ‘tanda hati’ untuk anak yatim sempena lebaran yang kian menjelma.
“Melalui sumbangan ini, setiap pelajar lelaki menerima sepasang baju melayu lengkap bersampin, songkok dan butang.
“Manakala pelajar perempuan pula dilengkapi dengan baju kurung, tudung serta telekung. Setiap kakitangan turut menerima kelengkapan serupa. Alhamdulillah, 31 pelajar dan 10 kakitangan dapat diraikan melalui sumbangan ini,” ujar Fadzli selepas menyampaikan sumbangan tersebut.
Menurutnya lagi, beliau bersyukur dapat menghulurkan sumbangan sebegini yang sekurang-kurangnya mampu menyuntik kegembiraan anak-anak ini di hari lebaran yang bakal tiba.
“kita sememangnya dituntut dalam Islam supaya membantu dan mengambil berat perihal anak-anak yatim ini terutama di bulan Ramadan yang mulia ini dan insyaallah kita bantu sehabis baik,” katanya kepada SuaraTV sebentar tadi.