Batal HSR, Malaysia Bayar Pampasan RM320 Juta Kepada Singapura – Mustapa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia membayar RM320,270,519.24 kepada Singapura sebagai pampasan berhubung pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung dalam satu kenyataan bersama berkata, jumlah pampasan itu dipersetujui kedua-dua negara.

“Bayaran S$102,815,576.00 (RM320,270,519.24) sudah dibuat Kerajaan Malaysia sebagai pampasan terhadap kos ditanggung Kerajaan Singapura dalam pembangunan projek HSR dan berkaitan penangguhan projek berkenaan.

“Kedua-dua negara mencapai persetujuan berhubung jumlah terbabit susulan proses pengesahan oleh Kerajaan Malaysia. Jumlah ini penyelesaian penuh dan terakhir berkaitan penamatan perjanjian dua hala,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua negara kekal komited menjaga hubungan baik dan kerjasama erat demi kepentingan bersama.

Pada 1 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama mengumumkan projek HSR sepanjang 350 kilometer ditamatkan apabila kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember lalu.

Susulan pembatalan projek itu, Ye Kung dilaporkan berkata, jumlah pampasan pembatalan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura akan merangkumi pelbagai kos, tetapi tidak membabitkan kos pembelian tanah.

Beliau berkata, Singapura sudah membelanjakan S$270 juta setakat ini membabitkan projek berkenaan iaitu merangkumi perkhidmatan konsultan, reka bentuk infrastruktur dan tenaga buruh.

Bagaimanapun, Mustapa pula berkata, kerajaan yakin kos pampasan perlu dibayar berhubung pembatalan projek terbabit jauh lebih rendah berbanding jumlah dinyatakan Ye Kung. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat