‘Tak pernah putus sahabat’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun dua tahun hubungan pelakon, Nur Fathia Abdul Latiff, 34, dan sahabat baiknya, Zarina Anjoulie, 34, renggang, namun tidak pernah putus sahabat.

Sekadar merajuk, berselisih faham dan bergaduh, itu perkara biasa dalam persahabatan yang sudah terjalin sejak 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, perselisihan faham berlaku dua tahun lalu agak lama membuatkan hubungan mereka keruh dan dingin. Dilihat sering berbalas sindiran dalam laman Instagram (IG), namun hingga hari ini, khalayak tidak tahu punca pergaduhan tercetus.

Enggan mengungkit kisah lalu, Fathia berkata, dia bersyukur hubungannya dengan Zarina kembali jernih selepas dua tahun renggang.

Katanya, sungguhpun agak lama menjarakkan diri, namun, mereka tidak pernah putus sahabat.

“Hubungan kami seperti adik beradik. Ada masa okay, ada kala dingin. Ada fasa turun naik. Saya dan Zarina juga manusia biasa, berselisih faham menjadi adat dalam persahabatan.

“Bagaimanapun, kami tidaklah sampai putus kawan. Zarina banyak mengajar saya mendapat kekuatan dalaman. Dia sering kali menasihatkan saya seperti apa yang selalu dilakukan dalam laman sosial.

“Jujurnya, saya merasakan Zarina adalah teman yang banyak memberi inspirasi. Banyak perkara yang boleh menyedarkan saya,” katanya kepada BH Online.

 

Nur Fathia Abdul Latiff dan Zarina Anjoulie mula berkongsi gambar dan video meluangkan masa bersama sejak awal bulan ini. - Foto IG Nur Fathia Abdul Latiff
Nur Fathia Abdul Latiff dan Zarina Anjoulie mula berkongsi gambar dan video meluangkan masa bersama sejak awal bulan ini. – Foto IG Nur Fathia Abdul Latiff

 

Dalam pada itu, Fathia tidak menafikan hubungan kembali jernih juga berkaitan dengan berita perceraian Zarina bersama bekas suami, Eilyas Azhar, hujung bulan lalu.

“Saya akui, berita perceraian Zarina membuatkan saya sedih. Macam mana kami bergaduh sekali pun, Zarina tetap sahabat, jadi saya agak terasa.

“Kami sudah lama berkawan. Sebagai sahabat tentunya saya prihatin terhadap nasib menimpa Zarina. Bagaimana kuat dan cekal berdepan episod perceraian, saya percaya Zarina memerlukan seorang kawan.

“Jadi, tak salah saya memulihkan hubungan dengan Zarina. Kami kejar semula apa yang ditinggalkan sebelum ini sebagai sahabat baik,” katanya.

Fathia dan Zarina mula berkongsi gambar dan video mereka meluangkan masa bersama sejak awal bulan ini.

Terdahulu, pertemuan dua pelakon kontroversi itu dikongsikan pendandan rambut selebriti, Ridzokimura menerusi laman IG.

Sementara itu, menerusi IG, Zarina mengatakan, dia dan Fathia bersahabat sudah lebih 10 tahun sudah pun bermaafan antara satu sama lain. Kini, persahabatan kembali jernih seperti sedia kala.

 

Nur Fathia Abdul Latiff dan Zarina Anjoulie yang bersahabat selama 10 tahun sudah pun bermaafan antara satu sama lain.
Nur Fathia Abdul Latiff dan Zarina Anjoulie yang bersahabat selama 10 tahun sudah pun bermaafan antara satu sama lain.

 

Dalam perkembangan lain, Fathia berkata, dia masih berlakon, cuma buat masa ini, fokusnya pada perniagaan.

“Saya masih nak berlakon. Bagaimanapun, rezeki mencurah-curah pula dalam bidang perniagaan. Saya sedar ramai yang menganggap saya sudah tidak mahu berlakon.

“Minat dalam lakonan tidak pernah mati. Insya-Allah, saya sentiasa berharap rezeki dalam bidang lakonan. Jujurnya, saya tidak kisah diberikan watak pembantu, asalkan saya dapat mengubat rindu.

“Bagaimanapun, saya sedar dalam keadaan sekarang agak sukar kembali berlakon. Jadi, saya fokus pada keluarga dan perniagaan minyak wangi serta tudung,” katanya.

Selepas lebih dua tahun tidak memasuki lokasi penggambaran, Fathia berkata, dia turut membintangi drama Lelaki Lingkungan Cinta siaran TV3, tahun lalu.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat