Usah pertikai SOP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ramai warga penggiat seni termasuk beberapa persatuan ‘bising’ ketika kebenaran penggambaran lambat diputuskan. Lebih teruk, wujudnya petisyen digerakkan oleh Kempen Solidariti Industri Kreatif mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memecat Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

FINAS berterusan dipersalahkan apabila didakwa tidak mengemukakan cadangan prosedur operasi standard (SOP) seperti diminta Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membolehkan kerajaan memberikan pertimbangan membuka industri kreatif ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Biarpun ia tuduhan berat sebelah apabila FINAS merekodkan semua aktiviti ke arah mendapatkan kelulusan penggambaran tanpa menjadikan media massa sebagai forum polemik itu.

Kerajaan akhirnya membenarkan sektor industri kreatif kembali beroperasi dengan SOP ketat sejak 10 Februari lalu dengan penggambaran dalam studio. Ia juga masih menjadi isu besar dan tidak memuaskan hati sesetengah warga penggiat seni walaupun rezeki sudah terbuka.

Terpanggil menyatakan pandangannya berhubung isu berkenaan, Ellie menasihatkan warga penggiat seni bersabar kerana SOP hanya bersifat sementara.

“Disiplin dan cara kerja warga seni berbeza kerana ia memerlukan pergerakan daripada satu tempat ke tempat lain. Justeru, apabila kerajaan hanya meluluskan penggambaran di kawasan tertutup yang dipanggil studio, maksudnya kawasan penggambaran tidak membabitkan orang awam.

“Apabila dibuat di lokasi tertutup, secara tidak langsung SOP dapat mengekang penularan pandemik COVID-19 selari dengan objektif kerajaan.

“Sabarlah, SOP ini hanya bersifat sementara iaitu sepanjang tempoh PKP hingga 18 Februari ini. Saya yakin SOP akan berubah dan kelonggaran akan diperluaskan di kawasan terbuka jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan.

“Sementara menunggu kelulusan kerajaan, syarikat produksi bolehlah menggunakan ruang yang ada untuk menyiapkan babak dalam studio. Selepas dibenarkan, bolehlah sambung penggambaran di kawasan terbuka seperti yang diinginkan,” katanya kepada BH Online.

 

Ellie Suriaty Omar berpendapat lebih baik fokus kepada peluang meneruskan aktiviti penggambaran tertangguh daripada terus mempertikaikan SOP yang tidak membenarkan penggambaran dijalankan di kawasan terbuka.
Ellie Suriaty Omar berpendapat lebih baik fokus kepada peluang meneruskan aktiviti penggambaran tertangguh daripada terus mempertikaikan SOP yang tidak membenarkan penggambaran dijalankan di kawasan terbuka.

 

Tambah Ellie, penggiat industri kreatif juga perlu bersikap rasional kerana SOP dilaksanakan kerajaan dibuat selepas mengambil kira SOP peringkat induk.

“Jika penggambaran dilakukan di lokasi terbuka seperti taman, syarikat produksi perlu mendapatkan kelulusan daripada majlis perbandaran. Dalam situasi sekarang, pastinya agak sukar mendapat kebenaran kerana risikonya amat tinggi. Lagipun, banyak kawasan masih dalam zon merah.

“Kita tidak bolehlah nak buat seperti zaman sebelum COVID-19. Kenalah realistik dengan situasi semasa. Inilah yang dinamakan budaya normal baharu yang perlu dipraktikkan dalam kerja kita,” terang pelakon telefilem 44 Hari Bangkitnya Pocong itu.

Terdahulu, Ellie bersiaran langsung menerusi akaun Facebook (FB) selama lebih sejam untuk berkongsi pandangan dan membuat pencerahan kepada pengikutnya mengenai beberapa isu berbangkit di kalangan warga penggiat seni kreatif.

Pada sesi itu, pelakon berusia 50 tahun itu turut mengundang pengarah terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin untuk berkongsi pandangan berhubung isu yang sedang hangat diperkatakan termasuk program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandung Kreatif serta petisyen digerakkan oleh kumpulan bergelar ‘Art Revolt’.

Mengulas pendiriannya berhubung kempen petisyen itu, Ellie berkata, dia bersikap skeptikal dengan objektif yang dilancarkan kumpulan berkenaan.

“Kita perlu tahu apakah gerakan solidariti dibuat demi masa depan industri seni kreatif ataupun berpunca perasaan tidak puas hati beberapa pihak, lalu menggunakan petisyen ini untuk membuat serangan peribadi ke atas Zakaria dan Ahmad Idham?

“Amat malang jika pihak berkenaan menggunakan platform industri kreatif untuk kepentingan diri kerana secara tidak langsung, ia boleh meruntuhkan industri ini.

“Saya masih tidak faham, apa yang membuatkan mereka masih tidak berpuas hati, sedangkan FINAS sudah menyediakan pelbagai insentif dan dana untuk dimanfaatkan pemain industri. Tidak mahu ada pihak menggunakan cara tidak betul untuk kepentingan diri membuatkan saya terpanggil menjelaskannya menerusi akaun media sosial,” ujarnya.

Sementara itu, Raja Mukhriz turut menyangkal dakwaan tindakan FINAS memperbaharui syarat program Padu Citra dengan memperkenalkan program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandung Kreatif sebagai menyusahkan seperti yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin persatuan seni, baru-baru ini.

 

Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin menyangkal dakwaan tindakan FINAS memperbaharui syarat program Padu Citra dengan memperkenalkan program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandung Kreatif sebagai menyusahkan.
Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin menyangkal dakwaan tindakan FINAS memperbaharui syarat program Padu Citra dengan memperkenalkan program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandung Kreatif sebagai menyusahkan.

 

Pengarah filem Tujuh dan Ophilia itu berkata, sistem pentauliahan itu bukan sahaja dapat mengenal pasti pemain industri sebenar, tetapi turut meletakkan kerjaya pemain industri ke tahap lebih profesional.

“Kita dapat lihat sesiapa sahaja boleh memasuki industri seni kreatif tanpa sebarang sekatan. Contohnya, ada syarikat yang berlatar belakang lebih kepada pembinaan terjun dalam bidang perfileman dan mohon dana untuk menerbitkan filem.

“Dan segelintirnya hilang begitu sahaja tanpa menyiapkan filem dijanjikan. Walhal, dana sudah diberikan. Jadi, apabila ada akreditasi, FINAS boleh mengenal pasti siapa pemain sebenar dan pengumpulan data akan menjadi lebih lengkap.

“Selain itu, ia juga boleh mengelakkan daripada berlaku lambakan tenaga kerja. Apabila tenaga kerja lebih ramai berbanding tawaran kerja, secara tidak langsung ekonomi akan terjejas.

“Sebagai Timbalan Presiden, Malaysian Society of Cinematographers (MySC), proses akreditasi dilakukan kami sendiri untuk mengelakkan lambakan ini berlaku. Tetapi, sekiranya dapat pentauliahan kerajaan, itu lebih bagus.

“Apabila kerjaya dapat pentauliahan profesional, ia akan memudahkan untuk berurusan dengan bank seperti pembelian kenderaan dan rumah. Selama ini, kita lihat ramai warga penggiat seni sukar membeli rumah kerana tiada pentauliahan secara profesional,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat