IPOH: Seorang pegawai tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan melakukan pengubahan wang haram sebanyak RM114,000 di daerah Batang Padang dekat sini pada tahun 2016.
Leftenan Kolonel Azman Mohamed Yasin, 58, yang ketika kejadian merupakan Pengarah Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa telah menerima cek berjumlah RM114,000 di bank CIMB cawangan Bidor di Bidor Centre Point, Jalan Dewan Orang Ramai, Bidor daripada Datuk Mohamad Adkaa Solahuddin yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 25 Okt 2016.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau peralatan pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaluddin memohon mahkamah supaya mengguna pakai jaminan bagi kes pecah amanah yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, iaitu sebanyak RM80,000, pada 23 Nov lalu.
Mahkamah kemudian bersetuju dengan kedua-dua permohanan yang dibuat oleh timbalan pendakwa raya.
– BERNAMA