JKNS sahkan wujud jangkitan COVID-19 pada petugas kesihatan dan pesakit di HTAR

- Advertisement -

SHAH ALAM:  Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan wujud jangkitan COVID-19 dalam kalangan pesakit dan petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata kedudukan Klang dalam zon merah COVID-19 serta pertambahan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dirawat di HTAR mengakibatkan kebarangkalian peningkatan kes COVID-19.

Beliau berkata seramai 50 petugas kesihatan HTAR yang telah dijangkiti COVID-19 sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh ketika ini.

“Siasatan JKNS dan HTAR tidak dapat mengenal pasti punca jangkitan petugas berkenaan sama ada berlaku sebelum pesakit dimasukkan ke hospital ataupun semasa pesakit berada dalam tempoh inkubasi selama 14 hari.

“Namun keadaan adalah terkawal. Kesemua kontak telah menjalani ujian calitan dan diletakkan di bawah perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO). Semua pesakit yang menjadi kontak kepada kes jangkitan juga telah dilakukan ujian calitan sama,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Sha’ari berkata pihak hospital juga sentiasa berwaspada dengan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) dipatuhi.

Beliau berkata pihaknya turut memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan dalam kalangan petugas kesihatan serta pesakit di kawasan hospital.

“Pengurusan rawatan pesakit di HTAR masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak datang ke hospital sekiranya tiada urusan penting dan tidak menularkan sebarang berita tidak sahih bagi mengelakkan tercetusnya kebimbangan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita hari ini mendakwa berlaku jangkitan COVID-19 dalam kalangan pesakit dan petugas kesihatan di HTAR sejak dua minggu lepas.

-BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat