Kerusi PM: Perebutan Tak Akan Selesai

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kegagalan tipis pembangkang menyekat kelulusan Belanjawan 2021 tidak menjamin atmosfera politik negara kekal tenang malah sebaliknya ia dijangka akan terus bergelora dengan ombak-ombak perebutan kuasa.

Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin berkata,
penyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin melihat kemenangan itu sebagai tanda kekuatan Perikatan Nasional (PN).

Manakala katanya, penyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, undi belanjawan tidak sama dengan undi tidak percaya.

Selain itu, bagi UMNO pula apa yang penting adalah cuba kembali berkuasa melalui Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Untuk itu ia perlu membendung pengaruh Bersatu dan PAS dengan cara berbaik-baik dengan mereka tetapi pada masa yang sama mensabotaj mereka.

“Matlamat sepadu UMNO adalah menguburkan Bersatu dan menyekat PAS. Dengan Muhyiddin, UMNO sudah tahu kekuatan dan kelemahannya serta apa lagi yang boleh diperas ugut. Dengan Anwar belum tahu,” catatnya di Facebook.

Beliau menambah, tetapi prospeks UMNO malap kalau terus bergantung kepada kepemimpinan kleptokrasi yang ada sekarang dan serentak itu menekan barisan pengganti macam Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Maka dalam suasana itu, kekallah Muhyiddin sebagai kambing korban yang disajikan pelbagai makanan berkhasiat sambil menunggu masa disembelih.

“Atau dia sendiri sedang berkomplot untuk merampas UMNO dan kembali sebagai bos nombor satu parti itu,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, di pihak lain pula, sesetengah pemimpin UMNO, khususnya yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah, akan terus bermain kayu tiga dengan Muhyiddin dan Anwar bagi mendapat “the best deal” berkaitan kes-kes mereka.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan PN dilihat menjadi peluang kepada pembangkang menyekat Muhyiddin dan kerajaannya selepas mereka berpakat menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.

Pada masa sama Anwar mengumumkan dia memiliki sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baru menggantikan PN.

Bagaimanapun ia tidak dapat dibuktikan setakat ini dan belanjawan pula diluluskan di Dewan Rakyat walaupun dengan kelebihan tiga undi saja.

“Untuk berjaya, Anwar memerlukan lebih daripada dakwaan sokongan”strong, formidable, convincing” apatah dalam keadaan di mana sudah kedengaran suara-suara meminta kedudukan Ketua Pembangkang dikaji semula.

“Undi tidak percaya hanya boleh dibuat jika diberi peluang oleh Yang di-Pertuan Dewan, Azhar Azizan Harun. Usul bertimbun tapi mungkin dihalang oleh penjaga masa.

“Kalau gagal juga, maka kekallah PN sebagai kerajaan yang lemah dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tanpa keabsahan.

“Dalam keadaan itu, pemerintahan negara akan terus tidak bermaya dan keyakinan terhadapnya, khususnya di kalangan pelabur asing dan agensi penarafan antarabangsa, akan terus lemah. Ekonomi akan terus ketumpahan darah dan rakyat jelata menderita,” kata A.Kadir.

Tegasnya, undian itu juga sekali lagi menunjukkan tahap sokongan yang diterima Muhyiddin memang tipis dan kerajaan PN akan terus dilihat tidak utuh.

“Tetapi inilah suasana yang diinginkan oleh pesaing-persaing PN, khususnya UMNO. Ia adalah yang di hadapan sekali dalam mengeksploitasi kelemahan kerajaan PN.

“Sambil meraih faedah melalui penyertaan dalam kerajaan PN, UMNO sedang berusaha menyekat kemaraan PN dan Bersatu dari dalam. Mereka menjadikan PN kuda tunggangan,” ujarnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat