Pasukan Petugas Khas kenal pasti isu keselamatan siber bakal diwujud – MKN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mewujudkan Pasukan Petugas Khas bagi mengenal pasti dan mengkaji isu keselamatan siber bagi tujuan menggubal undang-undang yang berkaitan dengannya.

Kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyebut perkara itu antara keputusan yang dipersetujui dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Mesyuarat itu adalah sebagai satu langkah kerajaan untuk memulakan pelaksanaan pelan tindakan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang telah dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Okt lepas.

Keputusan lain ialah penubuhan satu kumpulan kerja bagi menyelaras inisiatif penilaian dan pengukuhan keselamatan siber terhadap agensi sektor awam kritikal terpilih.

“Bagi fasa pertama, sebanyak 16 agensi telah dikenal pasti untuk pelaksanaan inisitif ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut MKN, sepanjang tahun ini, terdapat peningkatan kes insiden siber yang dilaporkan organisasi sektor awam dan sehingga 30 Nov lepas, sebanyak 3,836 insiden siber yang menyaksikan 31.5 peratus kes melibatkan pencerobohan manakala 53.19 peratus melibatkan jangkitan perisian hasad atau ‘malware.’

“Serangan Ancaman Terperinci Lanjutan atau ‘Advanced Persistent Threat’ (APT), perisian tebusan atau ‘ransomware’ dan pencerobohan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerajaan adalah isu serius yang perlu diatasi kerana ia boleh menyebabkan berlakunya ketirisan maklumat strategik, menjejaskan operasi dan mencalar imej.

“Kesannya keselamatan dan kedaulatan negara terjejas, ekonomi dan kestabilan politik tergugat serta kesejahteraan rakyat terancam,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,592FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat