Alyssa Dezek ‘trending’ 105 juta

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Baru berusia 12 tahun, namun penyanyi dan pelakon cilik popular, Alyssa Dezek sudah meraih pencapaian luar biasa. Menjadi satu-satunya penyanyi Malaysia yang ‘trending’ seluruh dunia selepas video muzik single pertamanya, Lagu Untuk Kamu meraih tontonan 105 juta menerusi saluran YouTube dalam tempoh 11 bulan.

Lebih membanggakan, Alyssa atau nama sebenarnya, Aryanna Alyssa Dezek, menjadi selebriti tempatan yang mencatat 3.64 juta langganan dan jumlah pengikut menerusi laman YouTube sejak 5 November 2012.

Ekoran itu, Alyssa difahamkan menjadi satu-satunya selebriti solo tempatan berada dalam kedudukan nombor tujuh langganan paling banyak menerusi YouTube Malaysia.

Terus memahat sejarah tersendiri, anak sulung daripada dua adik beradik itu berjaya membeli kereta idaman yang berharga lebih RM250,000 hingga menarik perhatian khalayak, baru-baru ini.

Enggan mendabik dada dengan kejayaannya, Alyssa berkata, apa yang dimiliki hasil sokongan peminat sejak dahulu.

“Secara jujur, saya tak sangka single Lagu Untuk Kamu ditonton lebih 100 juta tontonan dalam tempoh kurang setahun. Faktor besarnya, daripada kanak-kanak yang menontonnya setiap hari. Mungkin juga single ini mudah diingati, selain boleh diterima dengan baik.

“Saya berterima kasih kepada pengikut, tak kira Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Brunei Darussalam dan seluruh dunia. Sememangnya, saya bersyukur melihat sambutan dan sokongan padu sebaik ini,” katanya kepada BH Online.

 

Alyssa Dezek memahat sejarah apabila berjaya membeli kereta idaman yang berharga lebih RM250,000 hingga dalam usia 12 tahun. - Foto IG Alyssa Dezek
Alyssa Dezek memahat sejarah apabila berjaya membeli kereta idaman yang berharga lebih RM250,000 hingga dalam usia 12 tahun. – Foto IG Alyssa Dezek

 

Kejayaannya itu membawa Alyssa melangkah lebih jauh apabila berjaya membolosi kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.

Berulang mengucapkan terima kasih, Alyssa mahu menghasilkan karya yang lebih baik untuk pengikut yang menyokongnya kerjaya nyanyian dan lakonannya.

“Terima kasih BH yang mencalonkan nama saya. Saya tak menyangka akhirnya berjaya membolosi ABPBH. Saya sedar bukan mudah nama melepasi pencalonan top 20 tanpa karya atau produk yang menonjol.

“Menembusi pencalonan ABPBH 33 pun dikira satu kejayaan. Saya tak terkilan jika tiada rezeki nak menang kerana saya bersaing dengan nama besar dan popular,” katanya yang bercita-cita menjadi penyanyi bertaraf antarabangsa dan bijak seperti Yuna.

Mengulas kerjayanya, Alyssa merancang merakamkan single kedua yang juga ciptaan komposer dari Indonesia, Kangen Band.

“Sepatutnya, saya sudah merakamkan single kedua, tetapi perancangan terpaksa ditunda berikutan kes penularan COVID-19 semakin meningkat. Mungkin akan diusahakan sebelum hujung tahun ini.

“Saya memilih karya ciptaan komposer dari Indonesia kerana mahu menembusi pasaran negara seberang.

“Saya mahu membina nama dan bekerja dengan lebih ramai komposer Indonesia. Ia dilihat lebih mudah dalam usaha menembusi pasaran di sana.

“Bagaimanapun, ia tidak bermaksud saya mahu mengetepikan peminat di Malaysia. Jika boleh, saya mahu meneroka lebih banyak peluang untuk melangkah lebih jauh dalam dunia muzik,” katanya yang turut menceburi bidang lakonan.

 

Alyssa Dezek mengambil inisiatif untuk belajar bermain ukulele hanya dengan berpandukan YouTube seawal usia empat tahun, sebelum diterima menyertai kelas muzik. - Foto IG Alyssa Dezek
Alyssa Dezek mengambil inisiatif untuk belajar bermain ukulele hanya dengan berpandukan YouTube seawal usia empat tahun, sebelum diterima menyertai kelas muzik. – Foto IG Alyssa Dezek

 

Alyssa meluahkan rasa terharu apabila peminat dari Indonesia sering meninggalkan komen positif dalam laman sosial, Instagram (IG).

Bagaimanapun, Alyssa tidak menafikan, ada juga netizen meninggalkan komen negatif selepas perkongsian membeli kereta idamannya.

“Saya tak kisah netizen nak kata apa sekalipun, tetapi saya juga manusia biasa, ada kalanya tersentuh dengan cemuhan. Untuk elak terbuai dengan kesedihan, lebih baik saya mengambil berat kepada pengikut yang menyokong saya. Kepada netizen yang suka mengecam, terserahlah nak cakap apa,” katanya.

Alyssa mula dikenali selepas menyertai program Ceria All Star pada usia tujuh tahun dan kemudiannya menyertai menyertai program Ceria Mega Star pada 2018.

Sejak itu, Alyssa mula menerima tawaran berlakon seperti Kasut Bola Pink, Anak Anak Ibu, Jangan Sembelih Merah, Patahnya Sebelah Sayap, Jodoh-Jodoh Annisa, Ghahim Takut Nak Azan dan banyak lagi. Meskipun sibuk dengan aktiviti seni, Alyssa tidak pernah mengetepikan pelajarannya.

Katanya, dia tidak mempunyai masalah untuk mengikuti pembelajaran.

“Alhamdulillah, guru memahami dan mengikuti kelas tuisyen, jadi saya tidak pernah ketinggalan dalam pelajaran. Bagi saya, pelajaran sangat penting memandangkan usia masih muda. Saya akan menumpukan pelajaran pada waktu yang sepatutnya.

“Ibu bapa amat menyokong minat saya dari kecil. Jadi, saya tidak mahu mempersia-siakan kepercayaan yang diberi pada saya,” kata pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Danau Kota, Kuala Lumpur itu.

Membuktikan dirinya gemar belajar, Alyssa juga mengambil inisiatif sendiri untuk belajar bermain ukulele hanya dengan berpandukan YouTube seawal usia empat tahun, sebelum menyertai kelas muzik. Kini, Alyssa bukan sahaja handal bermain ukulele, malahan boleh bermain gitar, keyboard dan biola.

Sebelum ini, Alyssa banyak menyanyikan lagu saduran penyanyi dari Indonesia. Kehidupannya berubah apabila memuat naik video menyanyi lagu Kun Anta, sambil bermain ukulele di YouTube hingga menjadi tular. Penyanyi asal lagu itu, Humood Alkhudher pernah menyatakan hasrat mahu bertemu Alyssa apabila berkunjung ke Malaysia.

Alyssa juga menyanyikan lagu Merindukanmu nyanyian Dash Uciha dan ia menjadi hit dalam kalangan peminat di Indonesia. Sejak itu, peminat dari seberang semakin bertambah.

Video muzik ukulele terbaiknya ketika menyanyikan lagu Tak Tun Tuang yang mencatatkan 36 juta tontonan, selain lagu Despacito sebanyak 9.3 juta.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat