Kuala Lumpur – Majlis Raja-Raja Melayu dijangka akan mengadakan persidangan di Istana Negara esok bagi membincangkan cadangan-cadangan dikemukakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sumber istana memberitahu, sidang dijangka berlangsung pada pukul 2.30 petang.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka akan mengeluarkan titah setelah mengambil kira pandangan daripada raja-raja Melayu terhadap cadangan berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai hak untuk mengisytiharkan darurat namun perkara itu akan dibincangkan bersama Raja-Raja Melayu.
Difahamkan, sekurang-sekurangnya enam Sultan sudah mengesahkan keberangkatan baginda dan dijangka kesemua Raja-Raja Melayu akan berkenan berangkan menghadiri mesyuarat tersebut.
Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan mengesahkan, Yang di-Pertuan Agong menerima sembah taklimat Perdana Menteri berhubung cadangan-cadangan yang telah dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri semalam.
Susulan itu, baginda akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.