KUALA LUMPUR – Populariti Datuk Seri Najib Razak digeruni dan sebab itu ada pihak yang ikhlas bahkan ada yang mahu mempolitikkan titah adendum ikut nafsu masing-masing.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi berkata, banyak pihak mendakwa Pas mahu meraih manfaat politik kerana minta ahlinya turun berhimpun di Istana Kehakiman pada 6 Januari 2025 ini.
Ujar Puad, biarlah kalau Pas mahu main politik pun kerana pihak yang menyebabkan titah adendum ini berlarutan sampai satu tahun lagi kuat main politik.
“Sebab itu Umno tidak kisah apabila Hassan Karim (Ahli Parlimen Pasir Gudang) minta ahli PKR jangan sertai perhimpunan. Tahulah Umno urus sendiri.
“Dijangka 15 ribu ahli Umno hadir dengan berbaju merah. Umno sudah merancang lebih awal sebelum Pas keluar surat.
“Kalau Pas boleh kumpul sampai 10 ribu orang baguslah. Itu tanda Najib ada aura pada ahli Pas. Kalau ada 100 orang ahli PKR, DAP dan Bersatu datang sudah menggemparkan,” kata Speaker Dun Johor itu lagi dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Menurut Adun Rengit itu lagi, Umno berhimpun secara aman dan ikut peraturan.
“Perbincangan sudah dibuat dengan pihak berkuasa. Tidak akan ada pokok bunga DBKL akan rosak, tercabut atau kenderaan polis diterbalikkan seperti ketika Bersih berhimpun dulu.
“Populariti Najib digeruni. Sebab itu ada pihak yang ikhlas dan ada yang mahu mempolitikkan titah adendum ikut nafsu masing masing.
“Pokoknya Umno tetap bersolidariti dengan Najib,” katanya.
Tular di media sosial sepucuk surat Pas mengarah ahlinya berhimpun bagi ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari depan.
Surat itu dikeluarkan Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang serta setiausaha sayap-sayap parti, perhimpunan tersebut akan diadakan mulai 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
Menurutnya, himpunan berkenaan diadakan bagi menunjukkan solidariti bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum melibatkan tahanan rumah.