KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang menerima sumbangan sebanyak RM15,000 daripada Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang untuk Tabung Kemanusiaan Pahang4Palestine.
Sumbangan tersebut diserahkan Ketua Puterinya, Saudari Nurul Aslina bte Saman kepada Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Selasa.
Dalam kenyataan Facebook Wan Rosdy, beliau berkata, semoga bantuan ini dapat membantu menyumbang barangan keperluan kepada rakyat di Palestin terutamanya bekalan makanan, minuman dan perubatan.
“Sebelum memulakan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang sebentar tadi, saya mewakili Perbendaharaan Negeri Pahang (Infaq) menerima Cek Sumbangan Palestin daripada Pergerakan Puteri UMNO Negeri Pahang sebanyak RM15,000 untuk disumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan Pahang4Palestine.
“Semoga dengan bantuan ini kita dapat membantu menyumbang barangan keperluan kepada rakyat di Palestin terutamanya bekalan makanan, minuman dan perubatan. Insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, menurut Cik Nurul Aslina, jumlah wang sumbagan ini merupakan hasil kutipan wang sumbangan selama empat hari oleh Puteri UMNO Negeri Pahang.
“Kami menyerahkan sejumlah RM15,000 kepada YAB Menteri Besar Pahang untuk Tabung Kemanusiaan Palestine yang mana jumlah itu telah dikutip melalui Puteri bahagian-bahagian di dalam Pahang iaitu sebanyak 14 bahagian.
“Sebenarnya mereka baru bermula selama empat hari dan inilah jumlah kutipan yang telah kita serahkan kepada YAB Menteri Besar Pahang untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan di bumi Palestine,” katanya.
Beliau berkata kutipan serupa juga akan digerakkan dengan lebih agresif ke peringkat cawangan bagi memastikan lebih ramai pihak dapat menyalurkan sumbangan mereka.
Kerajaan Negeri Pahang telah melancarkan Tabung Kemanusian Pahang4Palestine bagi memastikan sumbangan dapat diselaraskan untuk disampaikan kepada rakyat Palestin yang sedang dalam kedukaan.
Hasil kutipan dapat membantu rakyat Palestin yang serba kekurangan terutamanya makanan, minuman, perubatan dan sebagainya akibat menjadi mangsa kekejaman rejim haram Israel, kata Wan Rosdy menerusi kenyataan Facebooknya, pada Isnin.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukanya atas nama “Perbendaharaan Negeri Pahang (Infaq)’, nombor akaun 06010004584717 Bank Muamalat Malaysia Berhad. Dan jika melalui cek, cek hendaklah ditulis atas nama Pegawai Kewangan Negeri Pahang.
Terdahulu pada Sabtu lepas, kerajaan negeri Pahang telah menyumbang RM100,000 kepada Tabung Pahang4Palestine semasa Program Himpunan Pahang For Palestine yang berlangsung di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan.