Lebih RM164 Juta Diperuntukkan Untuk Bendung COVID-19 Di Sabah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah memperuntukkan RM164.6 juta untuk mempertingkatkan usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 di Sabah, dari September hingga Oktober tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM103.8 juta adalah daripada peruntukan mengurus dan telah digunakan bagi menyediakan keperluan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE), barangan guna habis, bahan uji selain aset mudah alih, termasuk penyumberluaran makanan dan ubat-ubatan.

Beliau berkata baki jumlah tersebut iaitu RM60.8 juta adalah daripada peruntukan pembangunan dan digunakan oleh Jabatan Kesihatan Sabah untuk menambah baik fasiliti kesihatan seperti makmal dan bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital dan juga perolehan kenderaan serta peralatan perubatan.

“Pagi ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah meninjau sendiri persiapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang untuk menerbangkan segera sebahagian peralatan berkenaan ke Sabah.

“Penerbangan itu turut membawa peralatan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk NGO (badan bukan kerajaan) dan swasta,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat malam.

Beliau berkata kerajaan telah memberikan komitmen yang tinggi dalam membantu menangani wabak COVID-19 dengan menyalurkan segera peruntukan itu sebagai langkah melindungi keselamatan rakyat di Sabah.

Dalam pada itu, Dr Adham menyeru semua pihak untuk bekerjasama dengan kementeriannya selaras dengan pendekatan “whole of government approach” dan “whole of society approach” yang dilihat berkesan bagi menyekat penularan wabak berkenaan secara bersepadu.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menasihatkan semua pihak untuk mengamalkan norma baharu dan terus mematuhi garis panduan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan bagi memastikan rakyat sentiasa selamat dan terpelihara daripada penularan wabak COVID-19 ini.

Dr Adham berkata kerajaan dan seluruh warga KKM akan terus berusaha dengan penuh dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab untuk membendung wabak COVID-19, sehingga Sabah kembali menjadi Zon Hijau.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat