KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan Negeri Pahang yang melibatkan implikasi kewangan RM2.4 juta.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, Penjawat Awam Negeri Pahang (Gred 54 dan ke bawah) akan menerima RM300 seorang yang melibatkan 8,000 orang penerima termasuk pegawai serta kakitangan kontrak.
“Kerajaan Negeri Pahang menerusi mesyuarat Majlis Masyuarat Kerajaan (MMK) pada hari ini telah meluluskan pemberian Bantuan Khas Penghargaan Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan Negeri Pahang.
“Penjawat Awam Negeri Pahang (Gred 54 dan ke bawah) akan menerima RM300 seorang yang melibatkan 8,000 orang penerima termasuk pegawai serta kakitangan kontrak.
“Manakala pesara Kerajaan Negeri pula akan menerima RM200 seorang,” kata Wan Rosdy pada Rabu.
Jelas Wan Rosdy, pemberian bantuan khas ini melibatkan implikasi kewangan RM2.4 juta dan pembayaran akan dibuat pada bulan September 2023.
“Pemberian ini juga merupakan tanda penghargaan dan terima kasih daripada Kerajaan Negeri kepada penjawat awam yang sentiasa berdedikasi menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah.
“Saya berharap dengan pemberian bantuan khas ini penjawat awam Negeri Pahang akan dapat meningkatkan perkhidmatan mereka demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini,” katanya.