KUALA LUMPUR, – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu, sebaliknya kekal kukuh berlandaskan kekuatan akar umbi serta semangat perjuangan yang telah lama dibina.
Mengulas mengenai tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengumumkan keluar dari UMNO, Mohamad berkata keputusan itu dihormati dan dianggap sebahagian daripada dinamika politik semasa.
“Saya menghormati keputusan Tengku Zafrul untuk berundur daripada UMNO dan memilih arah politik yang lebih dekat dengan pandangan peribadi beliau. Sepanjang berada dalam kerajaan atas tiket UMNO, beliau telah memainkan peranan sebagai teknokrat yang menyumbang dalam bidang ekonomi dan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat turut menegaskan bahawa keutuhan UMNO tidak pernah bersandarkan kepada individu semata-mata.
“UMNO tidak pernah bergantung kepada mana-mana individu. Kita adalah sebuah parti yang dibina atas kekuatan akar umbi, semangat perjuangan, dan keyakinan rakyat bukan pada nama atau kedudukan. Orang datang dan pergi, itu lumrah dalam politik,” ujarnya lagi.
Beliau turut menggesa ahli dan penyokong parti supaya kekal tenang serta tidak goyah dengan tindakan segelintir individu yang memilih haluan berbeza.
“Jangan biar tindakan satu dua orang mengganggu hala tuju kita. Parti ini bukan dibina sehari dua, dan bukan diangkat hanya kerana seorang tokoh. UMNO adalah amanah yang lebih besar daripada itu,” tegas beliau.
Mohamad dalam pada itu mendoakan kejayaan Tengku Zafrul dalam perjalanan politik baharunya, sambil menzahirkan komitmen untuk meneruskan usaha memperkukuh parti dan memperjuangkan nasib rakyat.
“Saya doakan yang terbaik buat Tengku Zafrul, dan kita doakan yang lebih baik untuk UMNO,” katanya mengakhiri kenyataan.