Cyberjaya, 31 Mei 2025 – Di dalam ruang intim dan artistik NERO Event Space, PJPAC 1Utama, satu malam penuh emosi dan musikaliti tersulam indah menerusi showcase pertama penyanyi berbakat, Nadeera Zaini, bertajuk “An Evening with Nadeera”. Disaksikan lebih 350 peminat setia dan rakan-rakan industri, persembahan ini tidak hanya menyajikan muzik tetapi mengukir satu pengalaman seni yang tulus, jujur dan berani.
Dengan Sze Wan sebagai pengarah muzik, showcase yang diterbitkan oleh Usanita Entertainment dan MASK Team, dengan sokongan padu daripada Datuk Adzliana Hasan dan Shawn Amer, membawa penonton menyusuri sisi berbeza Nadeera — lebih peribadi, lebih matang. Setlist yang merangkumi lagu-lagu seperti “Emas”, “Fatwa Pujangga”, “Jampi” dan “Try” memperlihatkan versatiliti vokal Nadeera serta keupayaannya menyelami pelbagai genre dengan kejujuran artistik.
Ruang itu bukan sekadar pentas persembahan — ia menjadi medan penceritaan, ruang pengakuan, dan nadi bagi mimpi yang sekian lama disimpan. Dengan penataan muzik segar dan visual yang minimalis, pentas dibiar sederhana agar sorotan kekal pada suara dan emosi.
Malam itu turut diserikan dengan tayangan sebuah video dokumentari khas, merakamkan perjalanan Nadeera dalam dunia muzik — dari awal karier sehingga momen-momen kritikal yang membentuk dirinya hari ini. Tayangan tersebut bukan sahaja mengimbas kenangan, tetapi juga memperlihatkan penghargaan kepada insan-insan yang pernah mempercayai dan menyokongnya.
Namun, kemuncak emosi malam itu hadir saat lagu “Hakikat Cinta” dinyanyikan — di mana secara mengejutkan, penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah muncul dan berduet dengan Nadeera di hadapan penonton yang terpukau dan tersentuh. Ia adalah satu kejutan yang bukan sekadar persembahan, tetapi simbol penghormatan antara dua generasi suara wanita.
Kehadiran Anuar Zain, Zainal Abidin dan rakan rakan artis yang lain sebagai penonton turut menambahkan kemeriahan malam tersebut. Walaupun Anuar Zain tidak membuat kemunculan pentas, keberadaannya di barisan hadapan memberi makna besar buat Nadeera.
“An Evening with Nadeera” bukan hanya malam pertunjukan, tetapi lambang sebuah keberanian dan cita-cita. Ia membuktikan bahawa penyanyi muda ini tidak sekadar memiliki suara, tetapi juga visi dan jiwa yang ingin disampaikan kepada khalayak yang lebih luas.
Disokong oleh pihak seperti Virus Ungu dan Rocketfuel, serta dibina dari semangat komuniti, keluarga dan peminat, persembahan malam itu melakar garis permulaan kepada sesuatu yang lebih besar: konsert solo berskala besar — satu impian yang kini sudah tidak lagi mustahil.
Selesai persembahan, Nadeera Zaini duduk tenang, masih diselimuti emosi daripada malam yang penuh magis. Dalam nada yang bersahaja namun berlapis makna, beliau berkongsi perjalanan di sebalik tabir showcase pertamanya — sebuah pencapaian yang lahir dari mimpi, cabaran, dan keazaman yang mendalam.
Menyiapkan showcase ini bukanlah tugas yang ringan. Bagi Nadeera, ini merupakan sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Hampir sebulan beliau dan pasukan bertungkus-lumus dalam latihan dan persediaan, malah mengakui proses itu agak mencabar. “Memang struggle,” katanya jujur, namun senyuman yang terukir menggambarkan kepuasan yang tidak ternilai. “Tapi saya puas. Ini bukan sekadar nyanyi — ini manifestasi mimpi saya.”
Di sebalik setiap nota dan lirik, hadir sumber kekuatan yang tidak ternilai: keluarganya. Kedua ibu bapanya sanggup datang jauh dari Johor ke Kuala Lumpur untuk bersama menyaksikan malam penting ini. “Itu kekuatan sebenar saya,” katanya, menyentuh hati. Tidak dilupakan juga pasukan produksi dan sahabat-sahabatnya yang setia menyokong dari awal hingga ke tirai terakhir. “Mereka adalah pendorong utama saya berdiri di pentas ini.”
Namun antara detik paling mendebarkan dan penuh emosi adalah ketika penyanyi pujaannya, Dayang Nurfaizah, secara mengejut muncul di atas pentas untuk berduet dalam lagu Hakikat Cinta. Apa yang bermula sebagai permintaan peribadi kepada pasukan pengurusannya — “Saya pernah sebut saya nak duet dengan Dayang” — bertukar menjadi realiti di hadapan ratusan mata yang menyaksikan. “Saya rasa macam nak melompat! Suara dia, aura dia — itu impian yang jadi kenyataan.”
Dan jika kejutan itu belum cukup, kehadiran senyap-senyap seorang lagi ikon muzik, Anuar Zain, benar-benar menyentuh hatinya. “Tiba-tiba dia muncul depan saya. Saya tak tahu langsung,” katanya penuh teruja. Sebagai seorang penyanyi yang membesar mengagumi bakat Anuar, kehadiran itu dirasakan sebagai satu penghormatan yang luar biasa. “Ia hadiah buat saya.”
Antara lagu-lagu pilihan Nadeera, salah satu yang paling dekat di hati ialah Tanpa Dendam Di Hati, nyanyian asal Dato’ Siti Nurhaliza. Lagu ini bukan dipilih sekadar kerana populariti, tetapi kerana makna yang mendalam. “Dalam hidup, kita lalui macam-macam,” ujarnya. “Tapi saya percaya, hidup dengan hati yang bersih itu lebih membebaskan.”
Bercerita tentang masa depan, Nadeera tidak menyembunyikan cita-cita dan semangatnya. Dalam perancangan, sebuah single baharu sedang dibangunkan — dan tidak menolak kemungkinan untuk menghasilkan sebuah album penuh. Lebih menarik, beliau sendiri sedang terlibat dalam penciptaan lagu-lagu tersebut agar karya yang terhasil lebih tulus dan dekat dengan dirinya. “Saya nak cipta lagu sendiri juga — supaya karya itu lebih jujur.”
Dengan semangat yang membara, Nadeera kini memasang impian yang lebih besar — sebuah konsert berskala penuh, dengan ribuan peminat di hadapan matanya. “Kalau ada rezeki, saya nak buat konsert berskala besar pula selepas ini.”