Akta Pekerja GIG 2025 berkuat kuasa, perkukuh perlindungan 1.64 juta pekerja – Ramanan

PUTRAJAYA — Malaysia melakar satu lagi langkah penting dalam landskap ekonomi digital apabila Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872] mula berkuat kuasa hari ini, sekali gus memperkukuh tadbir urus serta kebajikan tenaga kerja dalam sektor gig.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, penguatkuasaan akta tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam membina ekosistem pekerjaan masa hadapan yang lebih adil, inklusif dan berdaya tahan selari dengan perkembangan pesat ekonomi digital negara.

“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa Akta Pekerja Gig 2025 atau Akta 872 akan dikuatkuasakan bermula 31 Mac 2026. Akta ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan pekerja dalam ekonomi gig mendapat perlindungan perundangan asas yang wajar diperolehi selaras dengan perubahan landskap pekerjaan masa kini.

“Hari ini juga menandakan bahawa Malaysia melangkah ke hadapan dalam membentuk masa depan dunia pekerjaan di rantau ini melalui penguatkuasaan akta yang komprehensif dan progresif.

“Pendekatan ini meletakkan Malaysia dalam kelompok negara di Asia yang mendahului usaha memperkenalkan perlindungan undang-undang khusus kepada pekerja gig, sekali gus berpotensi menjadi model rujukan di peringkat serantau dan global,” katanya dalam sidang media selepas sesi taklimat media pengumuman rasmi penguatkuasaan akta tersebut hari ini di Menara PERKESO.

Beliau berkata, dengan penguatkuasaan Akta 872, lebih 1.64 juta individu dalam ekonomi gig dijangka mendapat manfaat melalui perlindungan hak pekerja, ketelusan perjanjian, kepastian kadar bayaran, mekanisme penyelesaian pertikaian yang jelas serta perlindungan keselamatan sosial.

“Ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kemajuan ekonomi digital bergerak seiring dengan perlindungan dan kesejahteraan pekerja, sekali gus membina ekosistem yang lebih adil, inklusif dan mampan,” katanya.

Menurut beliau, Akta ini mentakrifkan pekerja gig secara inklusif merangkumi individu yang merupakan warganegara atau pemastautin tetap Malaysia, mempunyai perjanjian dengan entiti kontrak sama ada melalui platform digital atau tanpa platform, serta menerima bayaran bagi setiap perkhidmatan yang diberikan.

Melalui akta ini, pekerja gig kini mempunyai perlindungan perundangan yang lebih jelas termasuk ketelusan perjanjian perkhidmatan, kadar pendapatan yang dipersetujui, larangan diskriminasi, perlindungan keselamatan sosial melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial serta perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerjaan tanpa menjejaskan fleksibiliti model pekerjaan gig.

Dalam masa sama, mekanisme penyelesaian pertikaian diperkukuh menerusi Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia(JPPM) dan penubuhan Tribunal Pekerja Gig bagi memastikan sebarang pertikaian dapat diselesaikan secara lebih tersusun dan berkesan.

Sementara itu, penubuhan Majlis Perundingan Gig (MPGiG) di bawah akta ini akan berfungsi sebagai platform tripartit melibatkan wakil kerajaan, pekerja gig dan entiti kontrak.

Majlis tersebut berperanan menasihati kerajaan dalam menentukan kadar pendapatan minimum, formula serta standard sektor berdasarkan data semasa, termasuk mengikut jenis perkhidmatan dan kawasan.

“Majlis ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform rundingan dan dialog, malah mempunyai kuasa untuk mengumpul, menganalisis data serta menjalankan penyelidikan termasuk di peringkat antarabangsa sebelum membuat syor kepada kerajaan secara konsensus. Ini penting bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar berasaskan data dan realiti pasaran semasa,” katanya.

Pada masa sama, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dijangka memperkemas pelaksanaan dasar dan pembangunan ekosistem gig secara lebih tersusun dan bersepadu.

Akta ini turut memperkenalkan sistem aduan melalui platform eAduan Kementerian Sumber Manusia, dengan tempoh penyelesaian disasarkan dalam masa maksimum 21 hari bekerja bergantung kepada kompleksiti kes.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat