Pangkalan Data MySejahtera Di Malaysia, Bukan Di Luar Negara – Khairy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan mengesahkan pangkalan data yang menyimpan segala maklumat daripada penggunaan aplikasi MySejahtera berada di Malaysia dan bukannya di Singapura seperti didakwa sesetengah pihak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, secara spesifiknya pangkalan data terbabit berada di AIMS Data Centre yang terletak di Kuala Lumpur dan bukannya luar negara.

“Transaksi data daripada MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaan MySejahtera serta aplikasi sokongan berkaitan pandemik COVID-19, seperti modul vaksinasi dan sebagainya.

“Pangkalan data yang menyimpan maklumat ini pula berada di AIMS Data Centre di Kuala Lumpur. Ia berada di dalam negara, bukan di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung sesi perbahasan berkaitan isu MySejahtera di Dewan Negara, hari ini.

Isu keberadaan pangkalan data termasuk didakwa berada di Singapura antara dibangkitkan beberapa anggota Dewan Negara yang menyertai perbahasan berkaitan MySejahtera.

Dalam pada itu, Khairy turut memaklumkan bahawa data daftar masuk pengguna di pelbagai lokasi yang direkodkan melalui aplikasi MySejahtera akan dilupuskan selepas 90 hari daripada tarikh daftar masuk berkenaan.

Katanya, semua data berkenaan akan dilupuskan secara ‘hard delete’ atau secara kekal yang bermaksud data berkenaan tidak boleh dicari semula.

“Data daftar masuk melalui imbasan kod QR akan dilupuskan selepas 90 hari. Kita tak nak simpan pun data ke mana rakyat pergi.

“Ia akan dilupuskan secara ‘hard delete’ ertinya tak boleh dicari semula. Mereka yang ingin padam rekod MySejahtera juga boleh mohon untuk berbuat demikian dan ia akan dilaksana secara ‘hard delete’ dengan pemantauan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan KKM (Kementerian Kesihatan),” katanya.

Mengulas pemilihan syarikat Singapura untuk menguruskan MySejahtera, Khairy memaklumkan pemegang saham terbesar syarikat Entomo Pte Ltd yang memiliki Entomo Malaysia Sdn Bhd (sebelum ini KPISOFT (M) Sdn Bhd), adalah rakyat Malaysia.

Katanya, rakyat Malaysia berkenaan memilih untuk menjalankan operasi di Singapura kerana lebih mudah mendapatkan pelaburan bagi syarikat teknologi berbanding di Malaysia.

“Syarikat Entomo Pte Ltd di Singapura ini majoriti pemilik sahamnya adalah rakyat Malaysia. Mereka buat keputusan untuk berpangkalan di Singapura kerana lebih mudah untuk dapat pelabur di Singapura.

“Sebab itu antara lain MySJ Sdn Bhd (MySJ) ditubuhkan dan diperbadankan pada 23 September tahun lalu sebagai sebuah syarikat Malaysia, selain untuk mencari pembiayaan kewangan di Malaysia dan bukan lagi Singapura.

“Syarikat ini ada perjanjian dengan Entomo, di mana MySJ yang akan bertanggungjawab untuk urusan MySejahtera dengan kerajaan Malaysia,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Senator Datuk Razali Idris supaya aplikasi yang sensitif seperti MySejahtera dibangunkan syarikat yang berpangkalan di Malaysia pada masa depan.

“Mungkin akan datang, bagi aplikasi sensitif seperti ini, kita minta mereka berpangkalan penuh di Malaysia supaya tiada salah faham dalam isu ini,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,598FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat