KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen dari Bersatu mencadangkan agar pelaksanaan pengambilan pegawai baharu kerajaan secara kontrak yang akan bermula esok, 1 Februari 2024 ditangguhkan.
Penangguhan itu disyorkan sehingga kerangka besar pengambilan pegawai baharu Kerajaan bagi semua skim perkhidmatan oleh semua pihak berkuasa melantik dimuktamadkan sepenuhnya dengan mengambil kira pandangan semua pemegang taruh.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin menegaskan, tindakan terburu-buru kerajaan untuk melaksanakan pengambilan pegawai baharu secara kontrak tanpa satu perancangan yang teliti dan menyeluruh untuk keseluruhan sistem perkhidmatan awam merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.
“Sedarkah Kerajaan, esok adalah 1 Februari 2024, tarikh bermulanya lantikan pegawai baharu Kerajaan dibuat secara kontrak?
“Tapi, di mana kerangka besar berkaitan pelantikan pegawai baharu Kerajaan? Terlalu banyak persoalan berkaitan dengan perkara ini yang telah disentuh oleh pelbagai pihak. Namun tidak diendahkan,” bidas beliau.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, pada 23 Januari 2024, media melaporkan tentang satu pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) berkaitan pengambilan pegawai baharu kerajaan secara kontrak (Contract of Service) berkuatkuasa mulai 1 Februari 2024. Pekeliling yang tular di media ini bertarikh 15 Januari 2024.
“Dinyatakan dalam pekeliling tersebut bahawa tindakan kerajaan ini adalah langkah interim sebelum satu kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan. Keputusan tersebut dibuat di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2023.
“Apabila perkara ini mula dibincangkan secara meluas, Kerajaan telah mengeluarkan satu siaran media bertarikh 24 Januari 2024, menyatakan bahawa pegawai baharu yang dilantik secara kontrak mulai 1 Februari 2024 akan dilantik secara tetap apabila kaedah baharu pelantikan dimuktamadkan kelak.
“Pada hari yang sama, 24 Januari 2024 Timbalan Perdana Menteri I menyatakan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen. Katanya tarikh pelaksanaan akan diumumkan oleh KPPA,” katanya.
Jelas beliau, apabila menyentuh tentang pencen penjawat awam, rakyat mula mempersoal dan membincangkan isu tentang pencen bagi wakil rakyat dan lantikan politik.
Oleh itu kata Radzi, pada 26 Januari 2024 Perdana Menteri menyatakan bahawa pencen wakil rakyat dan lantikan politik baharu juga akan ditiadakan.
“Seterusnya, pada hari yang sama, Menteri Komunikasi mengulas perkara tersebut dan meminta supaya semua pihak tidak terburu-buru mengeluarkan kenyataan berhubung cadangan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam baharu.
“Dengan ini kita boleh lihat dengan jelas dan nyata betapa bercelaru dan berserabutnya proses penggubalan dasar Kerajaan hari ini. Mereka membuat pengumuman demi pengumuman tanpa mempunyai satu kerangka besar pelaksanaannya. Sebelum sebarang langkah diambil, Kerajaan seharusnya telah mempunyai satu kerangka yang komprehensif dan pendekatan pelaksanaan yang jelas.
“Ini juga dapat memberi lebih keadilan kepada rakyat Malaysia semasa membuat pilihan sama ada untuk berkhidmat sebagai penjawat awam atau sebaliknya dengan mengambil kira faedah semasa dan selepas perkhidmatan,” ujarnya.