Warta Saringan Kepada Semua Pekerja Asing – MTUC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memandang serius jangkitan Covid-19 daripada kluster membabitkan tempat kerja.

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya berharap supaya kerajaan mewartakan kepada syarikat swasta untuk membuat pemeriksaan keseluruhan pekerja asing.

Katanya, ini berikutan jika melihat laporan hanya kira-kira 200,000 pekerja asing sahaja baru dibuat ujian saringan.

“Dianggarkan 2.3 juta pekerja asing berdaftar di negara ini dan kalau lihat laporan kita belum pun lagi sampai setengah juta pekerja disaring.

“Sebenarnya apabila kita bercakap mengenai tindakan kerajaan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilancarkan pada Mac 2020, ketika majikan diarahkan membuat saringan pekerja, mereka yang positif perlu diasingkan segera.

“Malah ini baru membabitkan pekerja asing yang berdaftar, bayangkan apa terjadi terhadap pekerja asing tanpa dokumen di seluruh negara dan kita belum ambil apa-apa tindakan lagi.

“Majikan takut disaman, jadi secara tak langsung majikan menidakkan untuk tidak menyaring kelompok pekerja ini.

“Ini yang paling merisaukan sebenarnya dan apabila ramai pekerja positif di satu syarikat, kita lihat mereka masih beroperasi sedangkan di bawah Akta 514 majikan perlu menghentikan operasi untuk melakukan sanitasi.

“Jadi, ini yang kita tak nampak sekarang dan kita tidak tahu sama ada majikan ini membuat pengasingan atau syarikat ambil inisiatif pengasingan yang dipantau kerajaan,” katanya kepada Harian Metro.

Abdul Halim berkata, tindakan tidak bertanggungjawab majikan juga menyumbang lagi peningkatan kluster tempat kerja kerana tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.

Beliau berkata, memang kerajaan memberi arahan untuk menyaring pekerja, namun penguatkuasaan kurang membabitkan pengasingan dilakukan syarikat ini.

“Seperti mana pihak berkuasa bertegas terhadap masjid dan sekolah, seharusnya begitu juga dengan kawasan perindustrian.

“Ini kerana ada majikan yang masih arahkan pekerja mereka bekerja biarpun sudah terdapat lebih lima kes positif di premis itu,” katanya.

Menurutnya, MTUC turut terkilan kerana ada segelintir syarikat cuba merahsiakan mengenai laporan kes positif pekerja mereka.

“Seharusnya kerajaan mengambil tindakan penalti kepada syarikat ini sebab menyembunyikan jangkitan bahaya.

“Malah, terbukti sampai sekarang kita tidak dapat membuat ujian saringan 25 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja yang ada mahupun tempatan atau pekerja asing.

“Ini masanya, kerajaan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) ambil tindakan kerana sejak dari awal sepatutnya kita membuat saringan baru mengatur kawalan kerana kita mempunyai semua peralatan, perlindungan dan akta tetapi kita tak gunakannya,” katanya – Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat