Perdagangan dua hala antara Malaysia dan UAE catat pertumbuhan luar biasa – titah Al-Sultan Abdullah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan luar biasa dalam perdagangan dua hala dan pelancongan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menunjukkan wujudnya potensi ekonomi yang luas, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam wawancara eksklusif dengan Emirates News Agency (WAM), Seri Paduka Baginda bertitah UAE telah menjadi salah satu rakan dagang utama Malaysia di rantau Asia Barat, dan pada tahun 2019 sahaja, jumlah perdagangan antara Malaysia dan UAE mencapai US$6.426 bilion, iaitu 12.5 peratus melonjak daripada US$5.709 bilion pada tahun 2018.

UAE juga merupakan destinasi eksport terbesar di Malaysia dan sumber import kedua terbesar di rantau ini, titah Al-Sultan Abdullah semasa lawatan khas lima hari ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 21 Disember lepas.

“Malaysia dan UAE mempunyai hubungan yang baik, terutama dalam sektor perdagangan dan pelaburan.

“Berdasarkan kepada lokasi strategik Malaysia di rantau Asia Tenggara, Malaysia berkomitmed untuk menjadikannya sebagai pintu masuk kepada UAE bagi meneroka pasaran di Asia Tenggara yang mempunyai penduduk sebanyak 650 juta orang,” titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka bertitah sebagai hab utama di rantau Asia Barat, UAE sentiasa menjadi negara penting bagi Malaysia dan berperanan sebagai gerbang kepada Malaysia meneroka pasaran baharu.

Lawatan khas itu adalah kali ketiga buat Seri Paduka Baginda sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Lawatan pertama pada 12 hingga 15 Jun, 2019 disusuli lawatan kedua, iaitu lawatan peribadi yang juga atas jemputan Sheikh Mohamed Zayed pada 29 November hingga 3 Disember, 2019.

Sheikh Mohamed Zayed pula telah melakukan lawatan khas ke Malaysia atas jemputan Al-Sultan Abdullah bersempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai, 2019.

Menurut laporan WAM, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan supaya kedua-dua negara dapat terus meneroka peluang untuk mengeratkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

“Daripada segi pelancongan contohnya, beta gembira melihat peningkatan jumlah pelancong dari UAE yang telah mengunjungi Malaysia sebelum penularan COVID-19. Pada tahun 2019, lebih daripada 11,000 pelancong dari UAE telah melawat Malaysia.

“Apabila pintu sempadan dibuka semula, beta berharap lebih ramai pelancong dari UAE memilih untuk Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan mereka,” titah Al-Sultan Abdullah.

Semasa wawancara itu, Seri Paduka Baginda juga membincangkan mengenai penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai.

Malaysia percaya bahawa penyertaannya pada acara antarabangsa di Dubai akan menjadi peluang untuk memperlihatkan potensi perdagangan dan pelaburan yang signifikan terutama “cerita Malaysia kepada dunia,” titah Al-Sultan Abdullah.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat