Isu Kartel Daging: Jangan Salahkan JAKIM

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Pada 23 November 2020, akhbar Sinar Harian telah melaporkan kegiatan sebuah syarikat freight forwarder yang telah menyeludup daging secara haram ke Malaysia. Hasil daripada laporan ini, pihak berkuasa telah menyerbu sebuah gudang daging sejuk beku di Senai Johor pada 1 Disember 2020 dan seterusnya telah membongkarkan satu sindiket yang telah mengimport daging yang diragui status halalnya.

Sudah tentu sebagai seorang Muslim, kita berasa terkejut dan marah dengan perkara ini kerana kemungkinan daging yang kita telah makan sebelum ini tidak diuruskan dengan mengikut syariat Islam. Namun begitu, isu pemalsuan logo halal ini tidak harus dilihat sebagai isu politik dan sewajarnya dilihat sebagai satu jenayah yang perlu diambil peduli secara serius oleh pihak berkuasa.

Mungkin terdapatnya penyelewengan daripada pihak tertentu yang telah menyebabkan perkara ini berlaku. Oleh yang demikian siasatan lanjut secara terperinci harus dilaksankan dan pihak yang terlibat di dalam penyelewengan ini perlu dihadapkan ke muka pengadilan.

Pada 29 Disember 2020, Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid telahpun memberikan jaminan bahawa tiada daging haiwan yang haram dimakan oleh umat Islam seperti kangaroo dan khinzir dijumpai di dalam serbuan pihak berkuasa. Hanya daging-daging dari haiwan yang boleh dimakan sahaja yang dijumpai, cuma pengurusan daging seperti cara sembelihan dan penyimpanan sahaja pada ketika ini diragui. Semasa artikel ini ditulis, syarikat yang terlibat dalam pengimportan daging yang diragui status halal ini sedang dibawa ke mahkamah untuk dituduh.

Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai institusi bagi menjaga hal ehwal muslimin tidak seharusnya berhadapan dengan situasi seperti ini. Perkara asas seperti bekalan makanan halal seharusnya dijadikan prioriti dalam memastikan setiap makanan yang diambil oleh Muslim di negara ini berstatus Halalan Toyyiban (Halal dan Baik).

Namun begitu, pujian harus diberikan kepada Kerajaan Perikatan Nasional dalam menguruskan tragedi ini dengan baik, terutamanya kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang tidak cepat melatah dan menangani krisis ini dengan begitu professional.

Tidak seperti sesetengah pemimpin yang begitu cepat melatah, beliau dengan tenang telah menerangkan kepada rakyat tindakan yang akan diambil oleh agensi yang diterjuinya. Ini termasuk mempertimbangkan untuk diadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.

Jakim Perlu Diberikan Lebih Kuasa

Semasa isu ini menjadi tular atau “trending” di media sosial, kita telah melihat bagaimana ada sesetengah golongan liberalis di Malaysia yang begitu gembira dan bersorak sorai kerana dikatakan perkara ini terjadi kerana kegagalan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengendalikan pengiktirafan halal bagi makanan-makanan yang dijual di Malaysia.

Ramai dari kalangan golongan liberalis ini menyatakan bahawa kegagalan ini membuktikan bahawa JAKIM perlu ditutup dan hal-hal berkaitan Islam di negara ini tidak perlu dikawal oleh mana-mana institusi.

Pada hemat penulis, disebabkan oleh kejadian ini, JAKIM harus dipertahankan dengan lebih kuat lagi dan bukannya ditutup. Bidang kuasa JAKIM juga perlu diperluaskan bagi memastikan perkara ini tidak lagi berlaku dengan meletakkan JAKIM sebagai agensi pemantau setiap produk makanan, dari mula sesuatu produk itu dihasilkan sehinggalah urusan penghantaran masuk produk-produk tersebut ke negara ini.

Ketika ini, JAKIM mempunyai kuasa yang sangat terhad dan tidak berupaya untuk memantau kesemua aktiviti pembekalan makanan, terutamanya yang melibatkan produk-produk makanan yang diimport masuk dari negara luar.

Penulis yakin sekiranya satu transformasi dilakukan di dalam SOP pengimportan bahan makanan dan juga pemerkasaan bagi memperluaskan kuasa pegawai-pegawai JAKIM, isu “kartel daging” ini sudah pastinya tidak akan wujud lagi di negara kita Malaysia.

Ini Bukan Isu Politik

Tidak kira sama ada anda penyokong kerajaan atau pembangkang, isu “kartel daging” ini janganlah dilihat sebagai isu politik, kerana ia adalah perbuatan jenayah yang dilakukan oleh golongan yang jahat dan tamak, bagi tujuan keuntungan tanpa memikirkan kesan kepada masyarakat secara umum.

Sebagai umat Islam, kita harus melihat perkara ini sebagai satu dugaan yang amat berat dan juga peringatan bagi kita semua. Dari situasi ini kita dapat melihat betapa pentingnya untuk umat Islam menceburkan diri dan menguasai industri makanan, terutamanya yang melibatkan haiwan ternakan dan juga penghasilan produk-produk halal.

Penulis amat berharap agar kesedaran ini dapat dirasai oleh semua pihak dan satu usaha bersama dapat diwujudkan daripada kerajaan dan kalangan usahawan Muslim di Malaysia untuk memastikan kita dapat mengurangkan lagi bekalan makanan import dari luar negara.

JAKIM merupakan benteng dan tonggak utama dalam memastikan status halal bagi setiap produk yang kita beli untuk kegunaan diri sendiri dan keluarga. Oleh yang demikian, penulis menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk menghentikan kritikan tidak berasas, sindiran dan tuduhan-tuduhan melulu terhadap JAKIM. Muslimin dan muslimat mempunyai tanggungjawab sebagai umat Islam untuk menyokong institusi ini demi kesejahteraan kita semua. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat