KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi hari ini memberi ‘bola tanggung’ kepada pembangkang apabila menegaskan bahawa kekuatan kewangan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) negeri-negeri adalah sangat berbeza kerana ada yang bertaraf konglomerat dan masih ada yang menerima suntikan Kerajaan Persekutuan setiap tahun untuk jalankan sebahagian aktiviti mereka.
Rafizi Ramli menegaskan, memang tidak timbul soal mandat atau sokongan kerana perkara itu terbuka luas untuk bersinergi antara kerajaan-kerajaan negeri.
“Isunya ialah apabila Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) negeri-negeri ini diuruskan pada tahap yang berbeza-beza. Ada yang telah sampai ke peringkat tinggi dan boleh menjadi konglomerat besar tanpa satu sen pun bantuan peruntukan pembangunan kerajaan Persekutuan.
“Ada juga yang dari negeri-negeri pembangkang yang masih lagi memerlukan puluh-puluh juta setiap tahun daripada Kerajaan Persekutuan.
“Maka saya sarankan, bangunkan kekuatan kewangan PKEN masing-masing dahulu supaya tidak bergantung kepada suntikan wang Persekutuan seperti negeri-negeri lain,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Kata Rafizi, semasa berpeluang bertanya soalan kepada beliau di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman cuba serang hendap dengan mempromosikan betapa hebatnya kerajaan-kerajaan negeri pembangkang membina pelaburan bersinergi sesama mereka. Contohnya, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Terengganu melabur di Perlis dan sebagainya.
“Jawapan yang saya bagi tidak disenangi oleh ahli-ahli parlimen pembangkang yang bangun beramai-ramai membuat bising untuk menghalang saya terus memberi jawapan.
Sebab jawapan saya itu pahit untuk mereka terima. Malu pun ada.
“Saya hanya kongsikan fakta.Ia bukan sama ada PKEN (Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri) negeri-negeri pembangkang diberi mandat dan sokongan untuk mengadakan pelaburan rentas negeri sesama negeri pembangkang seperti yang dibawa Bachok.
“Itu hak PKEN masing-masing. Memang mereka ada mandat itu dalam undang-undang pertubuhan mereka dan mengikut Akta PKEN pun,” katanya.
Tegas beliau, isu sebenar ialah kemampuan kewangan dan pengurusan PKEN yang berbeza-beza yang menjadi penghalang kepada mereka membangunkan ekonomi masing-masing dengan mengusahakan pelaburan yang tidak merugikan.
“Di satu sudut, kita ada PKEN yang telah berjaya sehingga mempunyai pelaburan milik mereka yang disenaraikan di Bursa seperti PKNS (Selangor), JCorp (Johor) dan SEDC Sarawak (Sarawak). Mereka berdiri atas kekuatan kewangan sendiri dan menyumbang hasil kepada kerajaan negeri masing-masing.
“Di satu sudut lagi, kita ada PKEN yang menangggung kerugian dari pelaburan -pelaburan sehingga terpaksa bergantung kepada suntikan wang rakyat secara berterusan (baik Kerajaan Negeri atau Kerajaan Pusat).
“Faktanya, PKEN dari negeri-negeri yang ditadbir pembangkang inilah yang terus mendapat suntikan peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan sebahagian aktiviti-aktiviti mereka,” katanya sambil menambah pahit untuk mereka dengar, tapi itulah hakikatnya.
Susulan itu, eberapa ahli Parlimen pembangkang ‘naik angin’ , selepas tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bahawa empat negeri ditadbir pembangkang masih bergantung kepada peruntukan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek.