Abdul Wahab buat laporan polis, dedah identiti ‘Mr H’

- Advertisement -

KAJANG – Penolong Pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, mendedahkan identiti individu disebut sebagai ‘Mr H’ yang dikaitkan dengan kes video tular membabitkan dirinya dengan bekas Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, dalam laporan polis, hari ini.

Peguamnya, Faizal Abd Rahman, berkata Abdul Wahab ketika tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini, turut mendedahkan peranan individu itu yang didakwa sebagai dalang dalam kes panggilan video terbabit.

“Hari ini, kita membuat laporan polis terhadap Mr H, dan Abdul Wahab sebagai pengadu memberi kerjasama sepenuhnya meliputi video serta beberapa perkara tambahan yang lain.

“Sudah tentu siasatan hari ini lebih lama berbanding semalam (rakaman percakapan di Bukit Aman). Ini kerana semalam Abdul Wahab hadir sebagai saksi tetapi hari ini sebagai pengadu,” katanya kepada pemberita selepas Abdul Wahab membuat laporan dan selesai memberi keterangan di IPD itu.

Faizal berkata, kenyataan diberikan pada sidang media 17 November lalu adalah sama tetapi dalam proses siasatan polis, skopnya lebih luas.

Ditanya mengenai kertas siasatan kes itu akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, esok, beliau berpuas hati dan gembira dengan tindakan polis yang melengkapkan siasatan dengan segera.

“Saya tidak nampak mengapa siasatan ini perlu dijalankan lebih lama. Saya gembira dengan kenyataan Ketua Polis Negara bahawa siasatan kes ini selesai dijalankan.

“Apapun, selepas meneliti segala fakta, kita percaya hanya Mr H yang sebenarnya dalang di sebalik semua krisis ini,” dakwanya.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran terperinci mengenai identiti Mr H kepada umum, sehingga perkara itu diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata tiada keperluan untuk mendedahkan identiti Mr H kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan.

Sebelum ini, tular video perbualan antara Mohammad Agus dengan Abdul Wahab menerusi media sosial, sebelum kedua-duanya mengadakan sidang media pada 17 November lalu serta mendakwa rakaman itu bertujuan menjatuhkan kredibiliti Mohammad Agus dengan didalangi individu dikenali sebagai Mr H. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat