Lanjut atau Tidak PKPB Di Lembah Klang Diketahui Minggu Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persoalan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor akan dilanjutkan atau tidak, dijangka diketahui minggu ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu bergantung kepada penilaian risiko yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM akan membuat penilaian risiko dari segi kadar kebolehjangkitan di sesuatu kawasan PKPB pada minggu terakhir.

“Seperti di Kuala Lumpur, Selangor akan tamat 6 Disember ini, maka penilaian risiko akan dilakukan minggu ini.

“KKM akan nasihatkan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) beberapa hari sebelum tamat dan saya akan umumkan dalam sidang media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan orang ramai yang meminta pengumuman PKPB dibuat lebih awal berbanding sebelum ini, pada sidang media harian di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pengumuman mengenai perkara itu dijangka dibuat pada Jumaat ini.

“Insya-Allah kita akan umum lebih awal supaya memudahkan perancangan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pasukan khas membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) akan mengadakan perbincangan mengenai kawalan sempadan dalam masa terdekat.

Katanya, perbincangan itu bertujuan memperkukuhkan kawalan sempadan terutama di kawasan Utara Semenanjung Malaysia.

“Mungkin ada keperluan tambah anggota yang akan digerakkan di sana (kawasan utara) termasuk meneliti keperluan lain seperti pos kawalan dan peralatan.

“Penduduk di kawasan Utara tidak perlu rasa bimbang. Kekuatan sedang kita tambah di kawasan itu,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat