Sebahagian Jualan tiket konsert Damasutra disumbangkan kepada Palestin

- Advertisement -

Bertempat di Zepp kuala Lumpur satu konsert anjuran ‘Ultimate media” telah diadakan berjudul “Damasutra 33 Anniversary” bagi meraikan 33 tahun ulang tahun Damasutra suka duka perjalanan mereka di dalam insudtri muzik tanah air pada malam 27 Oktober lalu.

Seramai 1000 peminat setia hadir untuk memberi sokongan, ianya sebuah persembahan ‘comeback’ yang seumpama mimpi dalam mimpi membuatkan hilang rasa rindu dan pulih semangat kasih mesra antara peminat dan Damasutra pada malam itu, sinonim dengan lirik hits paling popular mereka itu.

Pembuka tirai persembahan pada malam itu menampilkan ‘Opening Band’ daripada D’Ultimate 6 yang bermula tepat pada jam 8.30 malam. Sebuah band projek yang begitu kuat dengan nama-nama besar seperti Belle Fatah (kibod), Eddie CRK (bass), Paie Sembah Bumi (dram) dan Uchop Ahmad (vokal) telah memecah malam dengan lagu cover “Seruan”.

Turut dilihat beraksi di samping mereka ialah Alif Putra yang dijemput khas dari Singapura mengisi slot di posisi gitar berganding bahu bersama Omar Akira.Meskipun hanya sebuah band projek yang masih baru ditubuhkan tidak sampai sebulan, namun kekuatan mereka terletak pada pengalaman luas dari setiap barisan jentera pemuziknya. Bergegar pentas di buatnya apabila lagu “Tamingsari”, “Pelesit Kota” dan “Jerangkung Dalam Almari” dipersembahkan.

Uchop selaku vokalis mengucapkan terima kasih kepada band Wings yang turut hadir memberikan sokongan padu buat D’Ultimate 6 dan Damasutra sebelum berkumandangnya lagu “Taman Rashidah Utama”. Sebaik sahaja nada lagu “Gugurnya Bunga Cinta” dipetik oleh Omar Akira, hadirin bersorak gamat disahut nada “For The Love of God” petikan Steve Vai Singapura, si Alif Putra berselang-seli melodinya. Ianya cukup kreatif serta menghiburkan.

Setelah dipersembahkan 6 buah lagu giliran Damasutra menguasai Pentas, kemunculan mereka bertopeng muka sebagai gimik dan bermulalah dengan lagu Sembunyi”  sebagai pembukaan serta diteruskan dengan sebuah lagu rancak yang berjudul “Selamba.

Damasutra membariskan Baggio sebagai (vokalist) dan ahli asal  Damasutra, Amran (bass) dan Assu (dram) sambil dibantu gitaris terbaru mereka, Rizal yang menggantikan Allahyarham Alok.

Memperlengkapkan lagi barisan muzik mereka ialah Nicole (kibod) dan John Boy (gitar). Mengimbas kenangan menerusi lagu-lagu wajib seperti “Antara Sutra dan Bulan”, “Sufi”, “Asyik” “Seribu Bayangan” dan “Sesat Dalam Rindu”, peminat yang hadir bernyanyi seiringan membuai malam dengan sejuta memori indah buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka.

Lagu-lagu rancak seperti “Sembrono”, “Igauan Kota”, “Mental of Retaro Kroniko”, “Kamasutra” dan “Aku dan Zen” tetap dipersembahan dengan begitu bertenaga. Slot konsert turut diselitkan dengan dram solo dari Assu dan gitar solo berselang-seli dari Rizal, John Boy dan Nicole.

Menariknya pada malam itu, ketika lagu ballad “Impianku” di bawakan, Baggio memberitahu “Terima kasih semua yang datang, anda telah menyumbang derma kepada Palestin di atas sebahagian penjualan tiket konsert kami ini. Alhamdulillah, ada rezeki kami malam ini.” Ujar Baggio.

Bendera Palestin dilihat berkibar pada skrin layar lebar, sesuai dengan senikata lagu yang puitis “Kita semua sama sahaja di sisi Tuhan yang Maha Esa, dan darah kita semuanya merah biarpun kulit berlainan warna. Marilah bersama menuju ke jalan Nya” dendang Baggio penuh emosi sebelum menyambung “Airmata dapat dilihat, tangisan hati hanya Tuhan yang tahu.

Bersama kita saling menyayang, Semoga hidup berbahagia.” Tatacahaya yang berwarna hijau, merah dan putih menghiasi pentas melambangkan warna bendera Palestin. Untuk makluman, 10% dari hasil penjualan tiket konsert akan disumbangkan ke Tabung Kecemasan Palestin di bawah kelolaan Malaysian Relief Agency (MRA).

Sebanyak 15 buah lagu dihidangkan oleh Damasutra malam itu dan buat penutup persembahan pada malam itu akhirnya “Umpama Mimpi Dalam Mimpi” menghangatkan suasana malam.

Sememangnya menggamit nostalgia, hadirin bersorak dan tepukan gemuruh bergema. Bagaikan mimpi berakhirlah konsert perjalanan 33 tahun Damasutra malam itu. Tahniah Damasutra, semoga terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak lagu-lagu baru yang relevan dengan generasi kini. Tahniah Ultimate Media atas usaha dan inisiatif positif yang harus dipuji.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat